Yamaha FZ25 Dilancarkan di India
Segmen 250 cc dalam pasaran India kini menjadi semakin sengit dengan pelancaran model terbaru Yamaha iaitu FZ25. Ia bakal bersaing dengan model-model seperti KTM Duke 200 dan TVS Apache RTR 200.
Dari segi reka bentuk, FZ25 mengekalkan elemen rekaan FZ yang sedia ada dengan garisan-garisan muskular serta kedudukan yang menjurus ke hadapan. Ia menampilkan barisan kelengkapan seperti lampu depan dan belakang LED, serta pelana berasingan dengan permukaan anti gelincir.
Selain itu, FZ25 juga didatangkan dengan panel instrumen LCD dengan paparan digital sepenuhnya. Ia mempunyai pelbagai info yang berguna untuk penunggang termasuk trip meter dan penunjuk ekonomi bahan api.
FZ25 dikuasakan oleh enjin 249 cc, silinder tunggal dengan teknologi BlueCore Yamaha yang menghasilkan 20.9 PS pada 8,000 rpm dan 20 Nm pada 6,000 rpm. Menurut Yamaha, aspek intake, ekzos serta pencucuhan enjin tersebut telah ditala khas untuk suasana trafik di India.
Selain itu, ia juga menggunakan omboh aluminium yang ditempa, silinder bersalut dengan ciri pelesapan haba dan gelang omboh nipis bagi mengelakkan kehilangan kuasa (power loss). Balancer turut digunakan untuk mengurangkan kesan getaran.
Bagi pasaran India, Yamaha FZ25 dijual dengan harga bermula dari 119,500 rupee (RM7,819). Ia ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Ballistic Blue, Knight Black dan Warrior White.
Spesifikasi Yamaha FZ25
Panjang x lebar x tinggi keseluruhan: 2,015 mm (P) x 770 mm (L) x 1,075 mm (T)
Jarak roda: 1,360 mm
Berat: 148 kg
Jenis enjin: Sejukan udara, empat lejang, silinder tunggal SOHC
Sesaran: 249 cc
Kuasa maksimum: 20.9 PS pada 8,ooo rpm
Tork maksimum: 20 Nm pada 6,000 rpm
Kotak gear: 5 kelajuan
Jenis kerangka: Diamond
Tayar (depan/belakang): 100/80 R17 Tubeless/140/70 R17 Tubeless
Suspensi depan: Sepit udang teleskopik
Suspensi belakang: Swingarm (Monocross)
Brek (depan/belakang): Cakera tunggal hidraulik
No Comment