BMW M760Li xDrive Duduki Takhta 7 Series Dengan Enjin V12
Jika barisan BMW 3 Series, 4 Series, dan 6 Series dikepalai oleh model-model seperti M3, M4 dan M6, barisan 7 Series pula ada M760Li xDrive yang baru diperkenalkan ini sebagai model flagship-nya.
Walaupun tidak diberi nama M7, tawaran terbaru dari Munich ini dilengkapi dengan pelbagai komponen M Performance, termasuk enjin turbo 6.6 liter V12 yang menjana 610 hp pada 5,500 rpm dan 800 Nm pada 1,550 rpm.
Kuasa yang dihasilkan kemudiannya disalurkan ke kedua-dua gandar melalui tranmisi Steptronic lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda, membolehkan kereta itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.7 saat, seterusnya mencapai kelajuan maksimum 305 km/j.
Menurut BMW, unit transmisi tersebut telah diberi talaan M Performance secara spesifik yang membolehkan penukaran gear dilakukan dengan lebih lancar dan cepat. Ia juga berfungsi bersama dengan ciri Auto Start Stop.
Dari aspek pengendalian, M760Li xDrive memanfaatkan gabungan suspensi udara Executive Drive Pro yang merangkumi ciri ‘active roll stabilisation’ serta roda aloi ringan bersaiz 20 inci. Sistem Integral Active Steering pula memastikan kereta ini mampu bertindak balas dengan cepat melalui kawalan sudut stereng roda belakang.
Bagi sistem brek, M760Li xDrive dilengkapi cakera 19 inci yang didatangkan terus dengan angkup brek berwarna lengkap dengan logo M.
Seperti model 7 Series yang lain, M760Li xDrive didatangkan dengan Driving Assistant Plus yang merangkumi pelbagai ciri bantuan pemandu seperti Steering and Lane Control Assistant, Lane Keeping Assistant dengan Active Side Collision Protection, Rear Collision Prevention dan pelbagai lagi. Ia juga mempunyai Traffic Jam Assistant yang melibatkan pemanduan semi-autonomi, serta Active Cruise Control dengan fungsi Stop&Go.
No Comment