Honda City Facelift Dibuka Untuk Tempahan
Honda Malaysia telah membuka tempahan untuk City baharu yang bakal dilancarkan dalam suku pertama tahun ini. Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan di mana-mana 88 pengedar sah Honda di seluruh negara.
City baharu ini merupakan versi facelift bagi model generasi keempat yang sudah terjual lebih dari 100,000 unit sejak pelancarannya pada Mac 2014.
Selain daripada rim aloi dwi tona baharu, City (varian V) kini didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus LED depan. Sedan segmen-B itu juga dilengkapi dengan spoiler belakang dengan lampu brek terbina serta kamera undur pelbagai sudut untuk lebih praktikaliti.
Antara ciri terkini yang boleh didapati di dalam kabin termasuklah butang tekan mula dan ciri Smart Entry. Ruang but pula kekal pada 536 liter, cukup besar untuk bagasi, kereta sorong bayi mahupun beg golf.
Dari segi keselamatan, kesemua varian City menampilkan sistem Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan Emergency Stop Signal (ESS) sebagai ciri standard. Varian V pula mendapat enam beg udara. Aspek rangkaian kuasa dikekalkan dengan kombinasi enjin 1.5 liter i-VTEC dan CVT dengan teknologi Earth Dreams Honda.
No Comment