Honda Malaysia Sasar Jualan 100,000 Unit Untuk 2017
Dalam satu majlis bersama media pada hari ini, Honda Malaysia mengumumkan yang ia berjaya mecatat jualan memberangsangkan walaupun dengan persekitaran pasaran yang mencabar sepanjang 2016.
Walaupun angka rasmi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) 2016 jatuh sebanyak 13 peratus kepada 580,124 unit (pertama kali bawah 600,000 dalam tempoh enam tahun), syarikat itu berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan jualan sebanyak 91,830 unit atau 15.8 peratus perkongsian pasaran.
Ini merupakan perkongsian pasaran kedua tertinggi dalam operasi global Honda. Di Malaysia, peratusan itu membolehkan Honda mengekalkan posisi No. 1 dalam segmen bukan nasional untuk dua tahun berturut-turut. Selain itu, jualan keseluruhan Honda juga meletakkan syrikat itu pada kedudukan kedua dalam TIV keseluruhan buat pertama kalinya di Malaysia.
Dengan jangkaan TIV sebanyak 600,000 unit untuk 2017, Honda Malaysia mengambil langkah bagi mengekalkan posisinya selaku peneraju pasaran dengan sasaran sebanyak 100,000 unit pada tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 8 peratus berbanding tahun lalu.
Dua model yang dilancarkan pada tahun lalu iaitu Accord dan Civic mencatat jualan No. 1 dalam segmen-masing-masing. Civic mencatat peningkatan sebanyak 265 peratus berbanding jualan model sama pada tahun 2015. Model tersebut menjadi pendahulu segmen dengan penguasaan pasaran sebanyak 68 peratus dalam tempoh enam bulan sejak ia dilancarkan. Accord pula mengakhiri tahun lalu dengan catatan jualan sebanyak 2,400 unit.
Dari segi hala tuju dan model perancangannya, Honda Malaysia akan memperkenalkan empat model baru bagi tahun 2017. Ia dimulakan dengan BR-V pada Januari lalu, diikuti dengan City facelift yang akan dilancarkan tidak lama lagi seterusnya dua lagi model yang tidak didedahkan.
BR-V menerima sambutan hangat di kalangan pembeli dengan tempahan sebanyak 7,000 unit dalam tempoh sebulan, bersamaan dengan sasaran jualan selama lapan bulan model tersebut. 83 peratus daripada jumlah tersebut adalah tempahan untuk varian V manakala selebihnya adalah untuk varian E.
Sementara itu, HR-V yang dilancarkan pada 2015 berjaya mencatat jualan sebanyak 25,000 unit tahun lalu. Ia merupakan model Honda yang kedua terlaris dalam jualan keseluruhan jenama itu.
Dalam aspek kepuasan pelanggan, Honda Malaysia akan menaik taraf setiap titik hubungan pelanggan yang melibatkan kemudahan hinggalah infrastruktur bagi memastikan pengalaman pemilikan terbaik dari segi jualan dan selepas jualan. Sejak lima tahun lalu, lebih 350,000 unit kenderaan Honda berjaya dijual.
Bagi 2017, Honda Malaysia berjanji akan terus menyampaikan produk yang bukan sahaja mempunyai nilai terbaik untuk wang, malah mampu menjangkaui jangkaan pelanggan dengan teknologi-teknologi canggih.
No Comment