Lotus Evora 410 Satu Penghormatan Khas Buat Esprit S1 James Bond
Jika anda sangka ini hanya sebuah Lotus Evora 410 biasa, anda silap. Ia merupakan Evora 410 yang direka khas untuk menyerupai Lotus Esprit S1 yang muncul di dalam filem James Bond iaitu The Spy Who Loved Me.
Unit ini ditempah oleh seorang pelanggan menerusi Lotus Exclusive, sebuah program yang memberi peluang kepada para pelanggan jenama itu untuk menyesuaikan (customize) kenderaan mereka mengikut cita rasa tersendiri.
Evora 410 khas ini menampilkan cat putih yang dipadankan dengan gril hitam pada bampar hadapan. Di bahagian tepi, ia mempunyai jalur hitam serta nama ‘Evora’ yang ditulis menggunakan fon yang sama seperti Esprit dalam filem perisik terkenal itu.
Kabinnya pula dihiasi dengan upholsteri Alcantara berwarna hitam dengan jahitan merah yang menonjol serta corak ‘Tartan’ yang popular pada zaman 70-an. Apa yang menarik, tombol gear unit khas ini diperbuat daripada kayu.
Tiada perubahan dari segi teknikal, di mana Evora 410 kekal dengan enjin supercaj 3.5-liter V6 yang menghasilkan 410 hp dan 409 Nm.
No Comment