McLaren Super Series Generasi Kedua Mampu Membrek Dari 200 Km/j Dalam 4.6 Saat
Dengan enjin dwi-turbo 4.0-liter V8 yang berkuasa dan casis karbon sepenuhnya, tidak hairanlah jika McLaren Super Series generasi kedua memerlukan sistem brek yang sama handal bagi menghasilkan supercar yang seimbang.
Dalam perkembangan terbaru, McLaren mendedahkan yang model itu mampu berhenti sepenuhnya dari kelajuan 200 km/j dalam 4.6 saat dengan jarak 117 meter, iaitu 6 meter lebih pendek berbanding model 650S. Prestasi itu juga tidak jauh dari jentera lumba P1TM yang hanya memerlukan 4.5 saat dan 116 meter.
Keupayaan sistem brek tersebut telah diuji sepenuhnya menerusi program pembangunan yang paling rumit pernah dijalankan oleh pengeluar supercar itu. Didatangkan sebagai ciri standard, brek karbon seramik itu lebih ringan dan kukuh berbanding keluaran terdahulu.
Selain brek, tayar juga penting dalam aspek pengendalian. Dengan kerjasama Pirelli, jurutera McLaren telah membangunkan tayar P Zero Corsa yang mempunyai 6 peratus lebih cengkaman berbanding tayar yang digunakan untuk 650S.
Video di bawah pula menampilkan Super Series dalam ujian dinamik dengan ketua pemandu uji McLaren iaitu Chris Goodwin.
No Comment