Aprilia, Piaggio, Vespa Kini Di Bawah Satu Bumbung
Naza Premira Sdn. Bhd., pengedar rasmi motosikal Piaggio, Vespa dan Aprilia di Malaysia, telah menyelaraskan operasinya dengan menempatkan ketiga-tiga jenama tersebut di bawah satu bumbung di bilik pameran konsep Piaggo Motoplex di Naza Automall, Petaling Jaya.
Syarikat itu juga telah menyusun semula bahagian selepas jualan produk Piaggo Group dengan penubuhan pusat teknikal baharu yang terletak di dalam kawasan yang sama.
Sebagai alternatif, para pemilik juga boleh menghantar motosikal mereka di mana-mana pusat servis bertauliah di seluruh negara.
Semua pusat servis kini dilengkapi dengan sistem diagnostik canggih Piaggio (Piaggio Advanced Diagnostic System, P.A.D.S.) yang boleh digunakan untuk beberapa analisa teknikal seperti data ECU. Semua kakitangan juga menjalani latihan teknikal dari Naza Premira serta Piaggio Asia Pacific yang berpangkalan di Hanoi, Vietnam.
“Kami kini mempunyai stok alat ganti bernilai RM2 juta manakala para pengedar kami mempunyai alat ganti dan aksesori bernilai lebih RM300,000,” kata Farouk Faisal, Ketua Pegawai Operasi, Naza Premira.
Piaggio Motoplex akan dilancarkan secara rasmi pada suku kedua tahun ini.
No Comment