Audi Tayang 6 Model di Geneva Motor Show
Audi akan menayangkan enam model terbarunya di Geneva Motor Show. Model-model yang akan membuat kemunculan adalah Q8 sport concept dengan enjin 3.0 TFSI V6 dan sistem hibrid, RS5 Coupe dan RS5 Coupe DTM, RS3 Sportback, SQ5 TFSI serta A5 Sportback g-tron.
Q8 sport concept
SUV gagah ini menampilkan enjin 3.0 TFSI V6 yang dipadankan dengan pemampat berkuasa elektrik. Hasilnya adalah jumlah kuasa sehingga 476 hp dan 700 Nm yang membolehkan ia memecut dari 0 – 100 km/j dalam 4.7 saat, dengan kelajuan maksimum 275 km/j.
Walaupun berprestasi tinggi, Q8 sport concept mempunyai jarak pemanduan lebih daripada 1,200 km, menjadikannya kenderaan yang sesuai untuk perjalanan jauh.
Berbanding konsep Q8 yang ditayangkan di Detroit awal tahun ini, Q8 sport concept mempunyai gerbang roda yang dilebarkan sepanjang 12 mm. Spoiler bumbung, diffuser aluminium dan kemasan ekzos bujur pula melengkapkan imej SUV tersebut.
Di dalam, SUV tersebut memanfaatkan penggunaan material-material mewah, skrin sesentuh besar, kokpit virtual dan paparan head-up yang menggunakan teknologi ‘augmented reality’ yang menggabungkan dunia maya dan dunia nyata.
RS5 Coupe
Menjanakan RS5 Coupe adalah sebuah enjin 2.9-liter TFSI V6 biturbo yang menghasilkan 450 hp dan 600 Nm, peningkatan sebanyak 170 Nm. Dilengkapi dengan kotak gear tiptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro, kereta ini mampu memecut dari 0 – 100 km/j dalam 3.9 saat.
Diinspirasikan oleh jentera 90 quattro IMSA GTO, RS5 Coupe mempunyai lubang ambilan udara yang besar di hadapan, gerbang roda membonjol yang lebih lebar, spoiler serta diffuser dengan kemasan ekzos bujur.
Kabinnya pula menampilkan tempat duduk sport RS, stereng flat-bottom, paparan RS khas serta logo-logo RS. Sementara itu, ciri-ciri seperti paparan head-up, lampu Matrix LED dan pelbagai sistem bantuan pemandu memastikan tahap keselamatan dan keselesaan yang tinggi.
RS5 DTM
Ditayangkan serentak dengan versi jalanannya, RS5 DTM generasi ketiga ini mempunyai lebih daripada 500 hp yang dibekalkan oleh enjin 4.0-liter V8.
Tidak banyak yang diperkatakan tentang jentera ini, kecuali ia kini didatangkan dengan komponen dan ciri aerodinamik yang telah dipertingkatkan. Jentera ini juga akan menggunakan tayar Hankook yang lebih lembut untuk membaiki catatan masa.
RS3 Sportback
Berada di bawah RS5, RS3 Sportback menampilkan enjin 2.5-liter TFSI lima silinder yang menjana 400 hp dan 480 Nm, membolehkan pecutan 0 – 100 km/j dilakukan dalam masa hanya 4.1 saat.
Ia didatangkan dengan mod pemanduan Comfort, Auto dan Dynamic, di mana respon sistem quattro, stereng, transmisi, pengurusan enjin, penutup ekzos serta suspensi boleh diubah. Pengendalian RS3 Sportback disempurnakan dengan kehadiran ciri Electronic Stabilization Control (ESC) dengan kawalan tork mengikut roda serta mod sport yang ditala khas bagi model RS.
Kebolehan kereta ini diperlihatkan melalui rupa RS yang tipikal yang merangkumi gril Singleframe dengan logo ‘quattro’, lubang ambilan udara yang besar, spoiler bumbung, diffuser belakang serta ekzos bujur.
SQ5 TFSI
Diperlihatkan buat pertama kali di Detroit Motor Show, SQ5 TFSI mengepalai barisan Q5 dengan enjin turbo 3.0-liter V6 yang menghasilkan 354 hp dan 500 Nm pada 1,370 rpm.
Dengan transmisi tiptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro, SUV ini memecut dari 0 – 100 km/j dalam 5.4 saat. Untuk lebih respon, differential sport yang membahagikan tork secara aktif antara tayar belakang dan stereng dinamik dengan nisbah berubah-ubah (variable ratio) boleh dipesan.
Bersama-sama dengan dua komponen tersebut, sistem Audi drive select turut melaraskan enjin, transmisi dan kawalan peredam SQ5 TFSI. Sistem ini membolehkan pemandu mengubah perwatakan kenderaan melalui beberapa mod yang disediakan. Suspensi udara yang ditawarkan secara pilihan pula membolehkan SQ5 TFSI ditinggikan atau direndahkan mengikut situasi.
A5 Sportback g-tron
A5 Sportback g-tron merupakan model ketiga Audi yang menggunakan gas asli selepas A3 Sportback g-tron dan A4 Avant g-tron. Ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TFSI dengan 170 hp dan 270 Nm tork. Modul tangkinya terdiri dari empat tangki yang ringan serta kukuh dengan kapasiti keseluruhan berjumlah 19 kg, memberikan kereta ini jarak pemanduan sejauh 500 km dengan gas asli termampat (CNG).
Dengan tangki petrol sebesar 25 liter, jarak pemanduan keseluruhan boleh dilanjutkan sehingga 950 km. Mengikut piawaian New European Driving Cycle (NEDC), model ini menggunakan hanya 3.8 kg CNG bagi setiap 100 km, bersamaan dengan 100 g CO2 bagi setiap km.
No Comment