BMW 5 Series (G30) Serba Baharu Dilancarkan di Malaysia
BMW Group Malaysia hari ini melancarkan 5 Series generasi ketujuh yang juga dikenali sebagai G30. Buat masa ini, sedan sports eksekutif itu ditawarkan dalam varian 530i M Sport.
Dari aspek reka bentuk, 5 Series baharu menampilkan gaya atletik, kemas dan berprestij dengan gril ‘kidney’ dan lampu hadapan yang digabungkan bersama (pertama kali bagi model 5 Series). Bukan sahaja kelihatan eksklusif, gabungan lampu LED adaptif dan lampu nyalaan siang LED turut menawarkan jarak nyalaan sehingga 500 meter.
Penggunaan bahan aluminium dan besi berkekuatan tinggi menerusi konsep BMW EfficientLightweight berjaya mengurangkan berat sedan tersebut sehingga 100 kg berbanding model sebelumnya. Selain itu, banyak penambahbaikan dari segi aerodinamik dan elemen untuk mengoptimumkan laluan angin juga telah dibuat. Ini termasuklah unit kawalan corong udara di dalam gril, inlet udara, Air Curtains dan Air Breathers pada bampar hadapan.
Varian 530i M Sport jelas mengutamakan aspek pemanduan yang dinamik. Ia dilengkapi rim aloi ringan bersaiz 19 inci dengan rekaan dua jejari, brek M Sport dan angkup brek berwarna biru dengan huruf ‘M’. Tidak ketinggalan, komponen-komponen M Aerodynamics yang didatangkan dengan warna badan, penutup sil sisi, serta apron hadapan dan belakang.
Di ruang kabin pula, 530i M Sport dilengkapi dengan tempat duduk sports di bahagian hadapan dengan ciri pelarasan elektrik dan fungsi memori untuk pemandu, kemasan sil pintu berlampu dengan logo M, pedal M yang baru dan stereng M yang dibalut kulit.
530i dikuasakan oleh enjin Twin Power Turbo bersesaran 2.0-liter empat silinder dengan jumlah kuasa 252 hp dan 350 Nm tork. Dipadankan dengan kotak gear Steptronic Sport lapan kelajuan, sedan ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Purata penggunaan bahan api bagi varian ini ialah 5.8 liter bagi setiap 100km dengan pelepasan CO2 sekitar 132 gram bagi setiap kilometer.
Sistem Driving Experience Control menawarkan empat mod iaitu Comfort, Sport, Eco Pro dan Adaptive. Mod keempat tersebut berfungsi bersama Dynamic Damper Control (DDC) dan sistem navigasi (Navigation System Professional) di mana stereng, DDC serta sistem Steptronic beroperasi mengikut gaya pemanduan semasa serta laluan yang telah ditetapkan.
5 Series didatangkan dengan sistem iDrive generasi terkini yang memaparkan navigasi, hiburan dan fungsi kenderaan menerusi skrin sesentuh bersaiz 10.25 inci. Selain daripada tombol iDrive, skrin sesentuh, sistem tersebut boleh dikawal menerusi kawalan isyarat tangan (Gesture Control) yang juga bertindak sebagai satu ciri keselamatan kerana ia membolehkan pemandu fokus ke atas jalan raya tanpa sebarang bentuk gangguan.
Sistem Active Cruise Control dengan fungsi Stop&Go pula mampu mengubah suai kelajuan yang telah ditetapkan sebelum ini berdasarkan kepada situasi trafik menggunakan radar dan data kamera. Beroperasi pada kelajuan sehingga 210 km/j, sistem ini berupaya memperlahan dan memberhentikan kenderaan apabila jalan raya mulai sesak, dan akan kembali berfungsi sebaik sahaja kenderaan di hadapan mula bergerak. Ia juga boleh mengenal pasti bulatan dan laluan keluar lebuh raya, sekali gus mengawal kelajuan sewajarnya.
Satu lagi sistem bantuan pemandu yang baru pada 5 Series baharu ialah Speed Limit Info dengan Intelligent Speed Limit Assist. Ia berperanan mengesan had kelajuan dan menghantar maklumat ke sistem Active Cruise Control dengan Stop&Go.
Selain Lane Departure Warning dan Lane Change Warning, 5 Series juga mempunyai sistem Approach Control Warning serta Person Warning dengan City Brake. Sistem tersebut memberi amaran dan membrek dalam julat kelajuan kira-kira 10 sehingga 60 km/j untuk manusia dan sehingga 80km/j bagi kenderaan lain. Sekiranya kemalangan tidak dapat dielakkan, fungsi City Braking akan membantu mengurangkan impak pelanggaran. Approach Control Warning pula memberi amaran jika pelanggaran mungkin berlaku dengan kenderaan di hadapan pada kelajuan lebih tinggi.
Pelanggan akan diberi kunci dengan paparan LCD berwarna dan panel kawalan sentuh yang berfungsi memaparkan pelbagai maklumat tentang status kenderaan. Beberapa fungsi tertentu turut boleh dikawal menerusi paparan sentuh yang ada pada kunci tersebut. Ciri-ciri lain BMW ConnectedDrive termasuklah Intelligent Emergency Call, BMW Teleservices, Concierge Services dan Remote Services.
BMW 530i M Sport ditawarkan dalam warna hitam (Black Sapphire), kelabu (Sophisto Grey Brilliant Effect), putih (Alpine White) dan biru (Mediterranean Blue). Warna luaran itu dipadankan dengan upholsteri dalaman kulit berwarna hitam (Dakota Black) yang digabungkan bersama jahitan biru atau Dakota Cognac bersama jahitan berwarna kontras (hanya untuk warna putih, kelabu dan hitam).
Harga runcit (di atas jalan, tidak termasuk insurans, bersama jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, program servis berjadual percuma dan program jaminan tayar BMW) untuk BMW 530i M Sport ialah RM398,800. Sedan tersebut boleh didapati di semua pengedar BMW di seluruh negara mulai hujung minggu ini dan ia juga akan dipamerkan di pintu masuk utama Pavilion Kuala Lumpur dari 31 Mac 2017 hingga 2 April 2017.
No Comment