BMW Motorrad Malaysia Perkenal K 1600 GT – RM159,900
BMW Motorrad Malaysia secara rasminya telah memperkenalkan motosikal K 1600 GT, jentera tourer mewah dan berkuasa yang dihasilkan sepenuhnya bagi meneruskan DNA jenama itu iaitu “Making Life a Ride”.
Selain daripada beberapa penambahbaikan baru, K 1600 GT juga menampilkan aspek aerodinamik yang telah dioptimumkan merangkumi perehat kaki, tempat duduk dan posisi bar hendal. Semua ini menyumbang kepada posisi duduk yang lebih aktif dan keselasaan pada masa yang sama.
Berbekalkan enjin enam silinder sebaris paling kompak dalam siri produksi motosikal setakat ini, K 1600 GT mempunyai 160 hp pada 7,750rpm dan tork maksimum 175 Nm pada 5,250rpm, paling tinggi dalam kelasnya.
Dengan berat 102.6kg, enjin tersebut merupakan enjin siri produksi enam silinder paling ringan untuk motosikal melebihi 1,000cc. Bukan itu sahaja, ruang silider yang sangat sempit membuatkannya lebih kecil berbanding enjin enam silinder sebaris lain.
Direka untuk memenuhi piawaian pencemaran EU4, K 1600 GT hadir dengan pemetaan enjin yang baru, satu sistem bahan api dengan tabung karbon untuk pengudaraan tangki minyak dan sistem ekzos bersama pengubah bermangkin (catalytic converter) yang telah diubah suai.
Jentera tourer tersebut juga dilengkapi dengan fungsi Reverse Assist yang menawarkan bantuan mengundur yang diaktifkan dengan menekan butang pada sebelah kiri bar hendal. Apabila diaktifkan, Reverse Assist akan menyahaktifkan gear hadapan dan mengaktifkan gear undur.
K 1600 GT menawarkan tiga mod tunggangan sebagai standard – “Rain”, “Road”, dan “Dynamic” – yang boleh diaktifkan menerusi satu butang yang diletakkan di sebelah kanan bar hendal. Setiap mod digabungkan dengan Dynamic Traction Control (DTC) yang berfungsi meningkatkan aspek ketepatan ciri kawalan cengkamannya, sekaligus memaksimumkan aspek keselamatan.
Kini dilengkapi ciri Shift Assistant Pro, K 1600 GT membolehkan penunggang menaik atau menurunkan kedudukan gear tanpa perlu menggunakan klac atau injap pendikit. Ini mampu mengurangkan tempoh penukaran gear secara signifikan berbanding menggunakan klac.
Injap pendikit juga tidak perlu lagi ditutup ketika gear ditukar kerana ia menggunakan cengkaman pendikit ketika memecut. Pada masa yang sama, kelajuan enjin juga diubah secara automatik melalui operasi nyahcekam berkembar (double-declutching) ketika motosikal diperlahankan dan gear diturunkan (injap pendikit ditutup).
Walaupun Shift Assistant Pro menyokong semua bentuk penukaran gear, tidak ada sokongan penukaran ketika klac diaktifkan, terutama apabila kedudukan gear dinaikkan dengan cengkaman pendikit ditutup atau ketika motosikal diperlahankan.
K 1600 GT juga dilengkapi dengan Dynamic Electronic Suspension Adaptation (ESA) dengan tetapan “Road” dan “Dynamic”. “Road” menggunakan adaptasi peredam automatik sepenuhnya untuk memberi keselesaan serta cengkaman manakala “Dynamic” pula mengaktifkan set-up peredam yang lebih keras.
Penunggang kini boleh menghidupkan enjin K 1600 GT dengan hanya menekan butang atau melalui sistem transponder sebagai sandaran. Melalui transponder tersebut, motosikal boleh dihidupkan tanpa perlu memasukkan kunci untuk memberi lebih kemudahan.
Sebagai tambahan, ciri Hill Start Control memudahkan tunggangan ketika menaiki laluan yang curam. Ciri baru ini membantu mengekalkan tujahan kuasa untuk mendaki, biarpun apabila tuil brek dilepaskan.
BMW K 1600 GT ditawarkan dengan pilihan skim warna yang baru. Warna hitam metalik (Black Storm Metallic) dan merah metalik (Mars Red Metallic) menyerlahkan karekter lincahnya manakala warna biru metalik (Lupine Blue Metallic) dengan enjin diwarnakan hitam pula menggambarkan keupayaan dinamiknya. Angkup brek berwarna emas dan cermin penghadang angin sport yang lebih kecil melengkapkan imej jentera touring ini.
Harga runcit yang disyorkan bagi K 1600 GT ialah RM159,900 termasuk GST.
No Comment