Isuzu Malaysia Perkenal D-Max 3.0L Single Cab
Isuzu Malaysia memperkembangkan barisan D-Max dengan pelancaran varian 3.0L Single Cab baharu. Menurut syarikat itu, ia adalah satu-satunya model trak pikap ‘single cab’ dengan enjin 3.0-liter yang dijual di negara ini.
Seperti D-Max ‘double cab’, model Single Cab ini menampilkan enjin turbodiesel 3.0-liter VGS yang menghamburkan 177 PS dan 380 Nm tork. Kuasa dihantar ke roda melalui transmisi manual lima kelajuan dan sistem pacuan empat roda. Isuzu Malaysia juga ada menawarkan varian 2.5L Single Cab dengan 136 PS dan 320 Nm.
Trak pikap ini didatangkan dengan suspensi pegas daun di bahagian belakang untuk menampung berat berlebihan dengan lebih baik walaupun ia dipandu di atas permukaan mencabar. Suspensi hadapan pula merangkumi wishbone berkembar dengan pegas gegelung dan penstabil.
Dari segi reka bentuk, D-Max Single Cab tampil gagah dengan bonet, gril dan bampar hadapan baharu, serta pelekat 4X4 eksklusif. Kabinnya pula didatangkan dengan kluster meter baharu yang kini menampilkan penunjuk anjakan gear.
Aspek keselamatan pula terdiri dari ABS, Electronic Brake Force Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Traction Control System (TCS), Electronic Stability Control (ESC) dan Hill Start Assist (HSA).
Ditawarkan dalam warna Magnum White Solid, D-Max Single Cab dijual pada harga RM84,543.20 untuk varian 2.5L dan RM90,250.40 untuk varian 3.0L.
No Comment