Jouni Karhu Mulakan Saingan MSBK di Petak Pertama
Pelumba dari Finland, Jouni Karhu berjaya mendapatkan petak pertama bagi pusingan pembukaan Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) hari ini. Ini adalah pertama kali kejohanan tersebut diadakan di bahagian selatan Litar Antarabangsa Sepang.
Mewakili Chia PJ Kawasaki, Karhu mencatat masa 1 minit 3.408 saat dengan menunggang Kawasaki ZX10R sekaligus mengalahkan Muhammad Farid Badrul Hisam dari HKM Times Bike Racing. Pelumba wildcard Moto3 itu mencatat masa 1 minit 3.648 saat.
Di petak ketiga pula adalah rakan sepasukan Karhu iaitu Rajni Krishnan dengan catatan masa 1 minit 3.811 saat, diikuti oleh pelumba Britain iaitu Mark Kendle yang mencatat 1 minit 4.593 saat.
Bagi kategori Superstock pula, petak pertama diduduki oleh Jonathan Serrapica dengan catatan masa 1 minit 5.238 saat, manakala petak kedua menjadi milik Nasarudin Mat Yusop yang mencatat 1 minit 5.752 saat dengan jentera BMW S1000RR. Seorang lagi pelumba tempatan iaitu Keith Parrot pula terpaksa berpuas hati di petak ketiga dengan masa 1 minit 6.280 saat.
Juara bertahan, Ismael Smajli yang mewakili BikeART Racing mendahului kategori Supersport 600cc dengan masa 1 minit 7.288 saat. Pelumba Jerman itu mengalahkan pelumba dari Malaysia iaitu Sauli Henrikki Lehtinen dari Sportrider Racing yang mencatat 1 minit 8.726 saat. Di tempat ketiga pula adalah Iqbal Quzaimy dari ARD Performance Motorsports dengan masa 1 minit 9.04 saat.
Kategori baharu iaitu KTM RC Cup pula menyaksikan Muhammadd Ibrahim Norrodin (adik kepada pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin) menduduki petak pertama dalam kelas Orange dengan catatan masa 1 minit 14.770 saat. Sementara itu, petak kedua pula menjadi pemilik Ahmad Idham Khairuddin (adik kepada Zulfahmi Khairuddin) yang mencatat 1 minit 15.001 saat.
Kedua-dua pelumba tempatan itu akan disertai oleh pelumba Singapura iaitu Aiman Nabil Shaharum yang menamatkan pusingan kelayakan dengan masa 1 minit 15.039 saat. Di petak keempat adalah Zhou Shengjunjie dengan catatan masa 1 minit 15.312 saat.
Petak pertama bagi kelas Silver pula diduduki oleh Furuichi Ukyo yang mencatat masa 1 minit 15.797 saat, diikuti oleh Jazil Juraimi dari Singapura dengan masa 1 minit 17.077 saat. Shamsul Razlan Shah akan memulakan perlumbaan di petak ketiga dengan masa 1 minit 18.705 saat.
No Comment