Lamborghini Huracan Performante Tampil Dengan 640 HP dan Aerodinamik Canggih
Walaupun baru sahaja diperkenalkan, Lamborghini Huracan Performante tidak mengambil masa yang lama untuk menggegar dunia supercar dengan catatan masa 6:52.01 di litar Nurburgring Nordschleife di Jerman. Percaya atau tidak, rekod masa tersebut menunjukkan yang ia lebih pantas daripada Porsche 918 Spyder.
Bukan mudah untuk mengalahkan sebuah hypercar seperti 918 Spyder, namun Lamborghini berjaya melakukannya dengan teknologi ringan dan kejuruteraan enjin serta casis yang menakjubkan. Huracan Performante dibina menggunakan kerangka aluminium dan komposit bagi mengekalkan ketegaran, manakala komponen-komponen seperti bonet, diffuser dan bampar belakang diperbuat daripada gentian karbon untuk kekal ringan.
Secara keseluruhan, Huracan Performante adalah 40 kg lebih ringan berbanding Huracan ‘biasa’.
Selain itu, ciri aerodinamik juga penting dalam meningkatkan prestasi. Huracan Performante menggunakan sistem aerodinamik aktif yang dikenali sebagai Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA) yang boleh dilaraskan bagi menghasilkan downforce tinggi atau daya seretan rendah.
ALA juga merangkumi spoiler hadapan dengan flap aktif yang dikawal menggunakan motor elektrik. Sebagai contoh, jika ALA dimatikan, flap hadapan akan ditutup bagi menjana downforce yang tinggi bagi tujuan mengambil selekoh dengan laju atau membrek sepenuhnya.
Huracan Performante menampilkan enjin 5.2-liter V10 yang kini menghasilkan 640 hp pada 8,000 rpm dan 600 Nm pada 6,500 rpm, dan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan. Ia juga menggunakan suspensi double wishbone dengan peredam pasif (peredam aktif ‘magneto rheological’ boleh dipilih) yang membantu mengawal badan dan roda semasa di dalam litar.
Tiga mod pemanduan ditawarkan iaitu Strada, Sport dan Corsa. Ia menampilkan stereng kuasa elektromekanikal sebagai standard, namun pemandu yang inginkan tindak balas yang lebih tinggi seperti jentera lumba boleh memilih untuk mendapatkan stereng dinamik Lamborghini (Lamborghini Dynamic Steering, LDS).
Huracan Performante didatangkan dengan rim 20 inci yang dibalut tayar Pirelli P Zero Corsa yang dibangunkan khas untuk kegunaan di atas jalan raya mahupun litar. Tayar Pirelli Trofeo R juga ditawarkan bagi kegunaan litar sepenuhnya. Bagi brek pula, model ini menggunakan cakera seramik karbon dengan angkup enam omboh di hadapan dan empat omboh di belakang.
Di Eropah, Huracan Performante dijual dengan harga bermula dari EUR195,040 (RM919,505).
No Comment