Nissan GT-R Track Edition – Senjata Litar Dengan Komponen NISMO
2017 merupakan tahun yang penting bagi Nissan GT-R. Bermula dengan pengenalan varian Premium dan NISMO, kereta yang digelar ‘Godzilla’ ini bakal menerima varian ketiga yang dikenali sebagai ‘Track Edition’. Ia bakal membuat kemunculan di New York International Auto Show pada April ini.
GT-R Track Edition tampil dengan beberapa komponen yang dipinjam dari GT-R NISMO termasuk dapra hadapan, rim aloi 20 inci dan spoiler belakang yang diperbuat daripada gentian karbon. Kabinnya pula dihiasi dengan tema merah hitam dan kerusi Recaro.
Badan GT-R Track Edition menggunakan perekat (adhesive bonding) yang dikatakan dapat meningkatkan ketegaran casis berbanding varian Premium yang menggunakan teknik kimpalan. Kereta ini juga menampilkan sistem penggantungan bebas bagi keempat-empat roda (four-wheel independent suspension) yang ditala khas serta tayar dengan spesifikasi NISMO.
Namun begitu, tahap kuasa yang dihasilkan oleh enjin 3.8-liter V6 dwi turbonya kekal pada 565 hp dan 633 Nm, sama seperti GT-R Premium. GT-R NISMO kekal sebagai model paling berkuasa Nissan dengan 600 hp dan 652 Nm tork.
GT-R Track Edition akan dijual di Amerika Syarikat bermula dari musim panas tahun ini dengan harga bermula dari $127,990 (RM565,395).
No Comment