Porsche 718 Cayman Kini di Malaysia – Harga dari RM530k
Bersempena dengan pembukaan Porsche Centre Penang, SDAP juga melancarkan model 718 Cayman serba baharu, yang secara visualnya menyerupai 718 Boxster yang dilancarkan pada tahun lalu, kecuali ia mempunyai bumbung tetap.
Selain dari rupa paras, kedua-dua 718 Cayman dan 718 Boxster juga berkongsi rangkaian kuasa. 718 Cayman mendapat 300 hp dan 380 Nm dari enjin turbo 2.0-litre empat silinder, manakala 718 Cayman S mempunyai 350 hp dan 420 Nm tork dari enjin 2.5-liter empat silinder dengan teknologi Variable Turbine Geometry (VTG).
Dilengkapi dengan transmisi dwi-klac PDK 7 kelajuan dan pakej Sport Chrono, 718 Cayman mampu memecut dari 0 – 100 km/j dalam 4.7 saat dengan kelajuan maksimum 275 km/j, manakala 718 Cayman S pula mencapai kelajuan yang sama dalam 4.2 saat dengan kelajuan maksimum 285 km/j.
718 Cayman boleh didapati dengan pelbagai kelengkapan pilihan serta sistem bantuan pemandu, antaranya Porsche Active Suspension Management (PASM) dengan kerendahan sehingga 10 mm, Adaptive Cruise Control dengan fungsi ‘coasting’ serta bantuan menukar lorong.
Di dalam kabin, kereta sport ini menampilkan panel instrumen baharu dan roda stereng yang dipinjam dari model 918 Spyder. Ia mempunyai kluster dengan tiga paparan instrumen serta skrin warna bersaiz 4.6 inci.
Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sesentuh 7 inci kini dilengkapi secara standard. Ia menawarkan beberapa pilihan individual seperti modul Connect, Navigation dan Connect Plus. Modul Connect Plus merangkumi beberapa fungsi seperti penyambungan telefon pintar secara wayarles, port USB untuk iPod serta sistem Apple CarPlay dengan kawalan suara.
Harga bagi 718 Cayman dan 718 Cayman S masing-masing bermula dari RM530,000 dan RM700,000. Harga yang dinyatakan termasuk semua cukai berkenaan, kecuali pendaftaran, cukai jalan dan insurans. Seperti model Porsche lain yang dijual oleh SDAP, 718 Cayman didatangkan dengan jaminan selama empat tahun dan pakej penyelenggaraan percuma yang merangkumi servis, alat ganti dan buruh.
No Comment