Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid Bagai Raksasa Elektrik
Sedia untuk membuat penampilan sulungnya di Geneva Motor Show, Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid merupakan Panamera paling berkuasa dan kereta hibrid plug-in pertama dari Porsche yang dilancarkan sebagai model ‘flagship’. Selain dari versi biasa, kereta ini juga akan ditawarkan dalam versi Executive dengan jarak roda yang dipanjangkan sebanyak 150 mm.
Coupe empat pintu ini menampilkan enjin 4.0-liter V8 dari Panamera Turbo dan sebuah motor elektrik dengan 136 hp, di mana gabungan ini menghasilkan 680 hp dan 850 Nm tork. Dengan transmisi PDK lapan kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa keempat-empat roda, Panamera Turbo S E-Hybrid memecut dari 0 – 100 km/j dalam 3.4 saat, dengan kelajuan maksimum 310 km/j.
Walaupun dengan prestasi seakan jentera litar, kereta ini mencatat penggunaan bahan api purata 2.9 liter bagi setiap 100 km, dengan pemanduan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 50 km. Ia dihidupkan dalam mod E-Power sebagai standard, dan akan bertukar ke mod Hybrid Auto apabila pendikit ditekan melebihi tahap yang ditetapkan atau paras cas bateri berada di bawah nilai minimum.
Motor elektrik tersebut mendapat cas dari bateri lithium ion dengan penyejukan cecair berkapasiti 14.1 kWh. Ia boleh dicas sepenuhnya dalam masa enam jam menggunakan pengecas 3.6 kW standard atau 2.4 jam dengan pengecas pilihan 7.2 kW.
Sebagai alternatif, proses mengecas boleh dimulakan menerusi Porsche Communication Management (PCM) atau applikasi Porsche Connect. Penyaman udara tambahan pula membolehkan kabin disejukkan atau dipanaskan semasa proses mengecas.
Sebagai sebahagian daripada kelengkapan standardnya, Panamera Turbo S E-Hybrid dilengkapi dengan brek komposit seramik (Porsche Ceramic Composite Brake, PCCB), kawalan casis dinamik sport (Porsche Dynamic Chassis Control Sport, PDCC Sport) dengan Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus), Power Steering Plus serta rim aloi 21 inci dengan rekaan 911 Turbo. Pakej asas juga merangkumi elemen aerodinamik, suspensi udara dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) dan kawalan stereng gandar belakang untuk versi Executive.
No Comment