Zaqhwan Catat Masa Terpantas Hari Pertama ARRC
Mohd Zaqhwan Zaidi mencatat masa terpantas pada hari pertama sesi latihan bebas SuperSports 600cc meskipun berdepan masalah cuaca tidak menentu yang sedikit menjejaskan rentak pelumba-pelumba di Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berlangsung di Litar Johor, Pasir Gudang, hari ini.
Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu mencatat masa terbaik 1’31.063s yang dilakukan dalam sesi latihan bebas ketiga manakala Taiga Hada (Rama Honda By NTS T.Pro Ten 10) muncul pelumba kedua terpantas dengan masa 1’31.519s.
Sementara itu, Decha Kraisart (Yamaha Thailand Racing Team) yang mencatat masa terpantas sewaktu sesi ujian pra-musim muncul pelumba ketiga terbaik dengan masa 1’31.812s diikuti seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech Kawasaki Racing) dengan masa 1’32.074s.
“Semuanya berjalan lancar pada hari ini namun keadaan cuaca tidak menentu memberikan cabaran kepada kami. Hujan lebat pada hari semalam menyebabkan terdapat sedikit kesan lumpur di beberapa bahagian litar. Keadaan ini menyebabkan saya tidak mempunyai banyak peluang untuk mencatat masa terpantas,” jelas Zaqhwan.
Tambahnya, “Bukan saya seorang mengalami masalah seperti ini, malah pelumba-pelumba lain juga kelihatan lebih berhati-hati berbanding ketika sesi ujian pra-musim lepas. Saya mahu mencuba untuk memecahkan rekod litar namun semuanya bergantung kepada keadaan cuaca esok. Jika cuaca hujan, pastinya sesi kelayakan dan Perlumbaan 1 menjadi lebih sukar.”
Sementara itu, pelumba Yamaha Thailand Racing Team, Anupab Sarmoon menguasai kelas Asia Production 250cc dengan catatan terbaik 1’44.202s yang dilakukan pada sesi latihan kedua diikuti pelumba Astra Honda Racing, Gerry Salim dengan masa 1’44.584s. Takehiro Yamamoto (Sidrap Honda Ikazuchi Racing) ketiga dengan catatan 1’44.964s.
Azroy Hakeem Anuar (Yuzy Honda Vietnam Racing Team) muncul pelumba terpantas sesi kelayakan Underbone 150cc dengan masa 1’49.115s diikuti juara keseluruhan 2016, Wahyu Aji Trilaksana yang beralih ke pasukan Yamaha Racing Indonesia dengan masa 1’49.336s. Md Akid Aziz (Uma Racing Yamaha Maju Motor) ketiga dengan masa 1’49.338s.
Keputusan:
SuperSports 600cc
1. Mohd Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda 1’31.063s
2. Taiga Hada (JPN) Honda 1’31.591s
3. Decha Kraisart (THA) Yamaha 1’31.812s
4. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Kawasaki 1’32.074s
5. Ahmad Yudhistira (INA) Kawasaki 1’32.079s
Asia Production 250cc
1. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 1’44.202s
2. Gerry Salim (INA) Honda 1’44.584s
3. Takehiro Yamamoto (JPN) Honda 1’44.964s
4. Imanuel Putra Pratna (INA) Yamaha 1’45.290s
5. Galang Hendra Pratama (INA) Yamaha 1’45.319s
Underbone 130cc (Sesi kelayakan)
1. Azroy Hakeem Anuar (MAS) Honda 1’49.115s
2. Wahyu Aji Trilaksana (INA) Yamaha 1’49.336s
3. Md Akid Aziz (MAS) Yamaha 1’49.338s
4. Md Amirul Ariff Musa (MAS) Honda 1’49.501s
5. Tengku Amirul Haffirudin (MAS) Yamaha 1’49.571s
No Comment