BMW HP4 Race – 215 HP, 171 KG dan 750 Unit Sahaja
Diperkenalkan buat pertama kali di pertunjukan EICMA 2016, BMW HP4 Race kini kembali dengan spesifikasi yang lebih lengkap. Superbike halo itu ditayangkan di Auto Shanghai 2017 di China baru-baru ini dan menurut pengeluar dari Jerman itu, hanya 750 unit akan dihasilkan untuk pasaran global.
Apa yang menarik tentang HP4 Race adalah ia merupakan motosikal produksi pertama yang menggunakan kerangka utama yang diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon dengan berat hanya 7.8 kg. Rim depan dan belakang juga dihasilkan daripada bahan yang sama dan ianya 30 peratus lebih ringan berbanding rim aloi biasa.
HP4 Race dilengkapi dengan fork terbalik FGR 300 dan spring TTX 36 GP dari Ohlins dengan komponen yang sama yang digunakan dalam kejohanan Superbike World Championship dan MotoGP. Selain itu, swingarm HP4 Race yang diperbuat daripada aloi ringan turut digunakan dalam kejohanan berprestij itu.
Sistem brek pula terdiri daripada sepasang angkup monoblock Brembo GP4 PR yang digabungkan dengan cakera keluli bersaiz 320 mm.
Motosikal seberat 171 kg itu mempunyai jumlah kuasa yang mengagumkan iaitu 215 hp pada 13,900 rpm dan tork maksimum sebanyak 120 Nm pada 10,000 rpm. Berbanding S 1000 RR, kelajuan enjin HP4 Race telah dipertingkatkan dari 14,200 rpm ke 14,500 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear racing enam kelajuan dengan nisbah rapat.
Dari segi peralatan elektronik, HP4 Race menampilkan kelengkapan seperti Dynamic Traction Control (DTC), Engine Brake (EBR), Wheelie Control, Launch Control, Pit Lane Limiter serta perakam data 2D termasuk ‘logger’.
No Comment