Genesis GV80 Buat Kemunculan di New York Auto Show
Genesis telah memperkenalkan SUV konsep GV80 di New York International Auto Show. Ini merupakan percubaan pertama jenama itu dalam menghasilkan SUV mewah yang versatil.
Tampil dengan kemasan Ice Granite, GV80 mempunyai reka bentuk gagah, sesuai dengan statusnya sebagai kenderaan utiliti sukan serba boleh. Bahagian hadapan SUV konsep itu mempamerkan jeriji bermotifkan berlian yang dipadankan dengan empat lampu mendatar dengan grafik seperti permata. Juga terdapat corong aerodinamik untuk penyaluran udara.
Sifat lincah GV80 juga diserlahkan melalui profil sisinya dengan rim aloi 23 inci dengan corak mesh untuk tujuan pengurangan berat dan penyejukan brek, serta pemegang pintu yang terselindung di bawah garisan badan. Bahagian belakangnya pula menampilkan lampu yang menggunakan teknologi gentian optik laser.
Menjengah ke dalam, SUV konsep ini mengetengahkan persekitaran yang sofistikated. Papan pemukanya yang terbentang luas dilengkapi dengan paparan melengkung OLED bersaiz 22 inci yang bersambung dengan panel instrumen pemandu. Sistem Human Machine Interface ini mempunyai paparan berbeza untuk pemandu dan penumpang. Ia boleh dikawal melalui pad sentuh dan tombol yang terletak di konsol tengah.
Kabin GV80 dihiasi dengan material mewah seperti kulit semi-aniline dengan jahitan bercorak berlian pada panel pintu, tempat duduk dan sisi konsol tengah, dan suede pada panel instrumen. Komponen-komponen aluminium juga digunakan sebagai padanan kepada panel kayu ‘ashwood’.
Tanpa memberi maklumat terperinci, Genesis mengesahkan bahawa GV80 akan menggunakan teknologi sel bahan api hidrogen plug-in terkini yang direka khas bagi memenuhi keperluan pengembara urban. Sejauh mana jenama yang baru bertapak itu akan pergi dengan SUV konsep mereka, sama-sama kita nantikan.
No Comment