Subaru Outback 2018 Bakal Muncul di New York Auto Show
Subaru mengumumkan bahawa Outback model tahun 2018 akan membuat penampilan pertamanya di New York Auto Show yang akan berlangsung dalam beberapa hari sahaja lagi. Selain daripada rekaan yang lebih segar dan lasak, SUV tersebut juga tampil dengan penambahbaikan dari segi multimedia, keselesaan serta keselamatan.
Outback 2.5i akan ditawarkan dalam varian standard, Premium, Limited dan Touring, manakala Outback 3.6R dalam varian Limited dan Touring. Sebagai varian tertinggi, Touring dilengkapi dengan teknologi bantuan pemandu EyeSight secara standard, upholsteri kulit serta jahitan kontras pada panel pintu dan armrest.
Dari aspek rekaan, Outback tampil lebih gagah dengan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED “Konoji”, serta bampar hadapan baru dengan bukaan gril lebih lebar dan rendah serta perlindungan daripada batu dan lumpur. Model Touring dan Limited didatangkan dengan rim 18 inci, manakala standard dan Premium dengan rim 17 inci.
Bahagian dalaman Outback menampilkan bahan-bahan premium, serta konsol tengah rekaan terkini dengan skrin bersaiz 8 inci. Untuk lebih keselesaan, sistem penyaman udara telah menerima penambahbaikan di mana ia menyejukkan kabin dengan lebih cepat dengan suhu lebih sekata. Kuasa dalaman juga dikekalkan untuk masa yang singkat selepas enjin dimatikan.
Sistem multimedia Starlink kini menyediakan perkhidmatan seperti Apple CarPlay, Android Auto dan navigasi TomTom. Skrin 6.2 inci sebelum ini telah dinaiktaraf menjadi 6.5 inci dan berupaya beroperasi dengan lebih pantas. Sementara itu, skrin 8 inci yang boleh didapati dalam varian tertinggi menawarkan operasi tidak ubah seperti telefon pintar.
Casis Outback juga diberi peningkatan, termasuk peredam suspensi untuk perjalanan yang lebih lancar, serta sistem brek dan stereng responsif untuk pemanduan yang lebih mengujakan. Kabinnya juga dikatakan lebih senyap dengan adanya beberapa penambahbaikan termasuk kotak gear CVT lebih senyap untuk model-model 2.5i, cermin sisi yang direka semula dan bahan penebat bunyi pada cermin sisi hadapan.
Outback 2.5i dikuasakan oleh enjin boxer 2.5-liter empat silinder yang menghasilkan 175 hp dan 235 Nm tork, manakala Outback 3.6R dilengkapi dengan enjin 3.6-liter enam silinder dengan jumlah kuasa sebanyak 256 hp dan 334 Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear CVT dengan mod manual tujuh kelajuan yang boleh dioperasikan melalui pedal penukar gear. Transmisi tersebut dikatakan lebih lancar dengan ECU yang ditala semula.
Menjanjikan lebih keselamatan, teknologi bantuan pemandu EyeSight kini merangkumi Adaptive Cruise Control, Pre-Collision Braking, Vehicle Lane Departure Warning, Blind Spot Detection/Rear Cross Traffic Alert, Lane Change Assist dan Lane Keep Assist. Selain itu, ciri-ciri seperti Tire Pressure Monitoring System (TPMS), Reverse Automatic Braking (RAB) dan Steering Responsive Headlight (SRH) turut disertakan.
No Comment