20,000 Pek Kurma Dan 3,000 Pek Juadah Berbuka Percuma Untuk Pengguna LPT
ANIH Berhad meneruskan usaha mengimarahkan
bulan Ramadhan dengan mengedarkan 20,000 pek buah kurma secara percuma
kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) semasa waktu berbuka puasa. Pek
buah kurma ini akan diedarkan setiap hari selama sebulan bermula hari pertama
Ramadhan di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak.
Sebagai tambahan kepada edaran pek buah kurma, Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala
Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan turut
mengedarkan 3,000 pek juadah makanan percuma di kawasan Rehat & Rawat (R&R)
terpilih.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata,
pengedaran juadah dan pek makanan percuma ini merupakan inisiatif Syarikat untuk
berkongsi keberkatan bulan Ramadhan selain merapatkan ukhuwah serta tanda
penghargaan kepada pengguna LPT.
“Sudah menjadi tradisi ANIH Berhad untuk mengedarkan pek penghargaan sebagai
tanda terima kasih kepada pengguna LPT setiap kali tibanya Ramadhan. Berbeza
tahun sebelumnya, tahun ini kami melakukan sedikit perubahan dengan memberi
2 kurma dan juadah berbuka kepada pengguna yang tidak sempat sampai ke destinasi
untuk berbuka puasa. Ini adalah sebagai tanda penghargaan kami kepada pengguna
lebuh raya ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bagi aktiviti pengedaran pek buah kurma, Dato’ Nik berkata aktiviti yang akan
dilakukan setiap hari selama sebulan itu akan bermula pada Sabtu, 27 Mei 2017 (1
Ramadan 1438 Hijrah) dari jam 7.00 petang hingga 7.45 petang. Aktiviti itu akan
diadakan serentak di 2 plaza tol utama ANIH Berhad iaitu di Plaza Tol Gombak dan
Plaza Tol Karak.
“Bagi pengedaran pek juadah berbuka yang mengandungi set lauk, nasi, air mineral
dan kurma pula akan diedarkan menerusi satu kaunter pandu lalu khas dan akan
bermula dari jam 6.30 petang hingga 7.45 petang di tiga lokasi terpilih iaitu dua di
R&R Genting Sempah (pada 2 dan 16 Jun 2017) dan di R&R Temerloh (9 Jun 2017).
“Pek juadah berbuka ini adalah inisiatif kali pertama syarikat konsesi dan ia
disediakan khas oleh penggerai R&R kami manakala setiap lokasi R&R
diperuntukkan sejumlah 1,000 unit pek setiap kali edaran,” katanya.
ANIH Berhad juga tidak melupakan golongan memerlukan terutama anak yatim dan
golongan yang tidak berkemampuan untuk sama-sama menghayati kedatangan
Ramadhan ini dengan memberi sumbangan RM5,000 untuk juadah moreh kepada 10
surau dan masjid di sepanjang jajaran KLK dan LPT 1. Selain itu, sebagai inisiatif
kesinambungan tanggungjawab sosial korporat, Syarikat turut menyumbang
RM2,000 untuk pelajar dan kakitangan Maahad Tahfiz Muhammadi di Kuantan
sebagai juadah berbuka puasa.
“Program ini sudah menjadi aktiviti berterusan tanggungjawab sosial dan cara kami
menyumbang semula kepada masyarakat, sekali gus merapatkan hubungan antara
syarikat korporat terbabit dengan masyarakat,” katanya.
No Comment