BMW Group Malaysia Pamer 5 Series di The Pavilion Menerusi Siaran Langsung Interaktif Digital
BMW 5 Series serba baharu yang kini sudah memasuki generasi ketujuh dipamerkan di pintu masuk utama Pavilion Kuala Lumpur pada petang Jumaat, 31 Mac 2017 di mana satu siaran langsung majlis pelancaran di Skypark RAC, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang turut dipancarkan terus menerusi skrin digital paling besar di Malaysia. Tayangan eksklusif sedan itu mencatat lebih 300,000 tontonan di dalam talian dengan lebih 8,000 menghadiri acara tersebut.
Sehari sebelum majlis rasmi itu, sebuah gerai telah dibuka untuk memberi gambaran kepada orang awam tentang apa yang akan dipamerkan di pintu masuk pusat membeli- belah berkenaan. Pada malam pelancaran, acara dimulakan dengan peraduan memberi keterangan gambar yang membolehkan pengunjung memenangi barangan eksklusif BMW. Hampir jam 8 malam, kiraan dimulakan untuk memperkenalkan model itu lengkap bersama siaran secara langsung di Skypark RAC. Tayangan diikuti oleh satu siri aktiviti interaktif yang berlangsung sepanjang hujung minggu.
Di majlis itu, BMW Malaysia juga menganjurkan peraduan #My5uccess di mana semua penyertaan disiarkan secara langsung pada waktu sebenar di skrin digital interaktif di pusat membeli-belah The Pavilion. Peraduan itu membolehkan semua peserta untuk berkongsi kata-kata kejayaan mereka sendiri atau memilih mana-mana petikan kata yang telah disenaraikan. Pemenang peraduan tersebut akan memenangi satu pengalaman eksklusif dengan sebuah model BMW.
Dilancarkan pada bulan Mac tahun ini, 5 Series baharu ialah sebuah sedan eksekutif premium paling inovatif daripada pengeluar kereta Jerman itu setakat ini. Varian 530i M Sport (RM398,800) yang ditawarkan dalam pasaran tempatan 530i dikuasakan oleh enjin Twin Power Turbo bersesaran 2.0-liter empat silinder dengan jumlah kuasa 252 hp dan 350 Nm. Dipadankan dengan kotak gear Steptronic Sport lapan kelajuan, sedan ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j.
No Comment