Empat Model Triumph Motorcycles Tiba di Malaysia
Seperti yang dijanjikan, barisan model Triumph Motorcycles bagi tahun 2017 telah tiba di pasaran Malaysia melalui Fast Bikes Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama itu di negara ini. Ia diketuai oleh Bonneville Bobber, diikuti dengan Street Scrambler, Bonneville T100/T100 Black, serta Street Triple RS.
Bonneville Bobber
Pertama kali dikeluarkan oleh Triumph, Bonneville Bobber memberi tumpuan kepada minimalism, gaya gagah serta kejuruteraan motosikal ‘bobber’ sejati. Ia menampilkan garisan badan yang kemas, tempat duduk tunggal, bar hendal lebar, tangki yang dibentuk khas, roda jejari dengan tayar belakang yang lebar serta bahagian ‘ekor’ yang unik.
Juga mementingkan keringanan dan kuasa, model ini dikuasakan oleh enjin 1,200 cc yang dilengkapi dengan kelengkapan elektronik terkini serta kotak udara berkembar baharu yang memberikan lebih tork dan kuasa pada kelajuan rendah berbanding model T120.
Bonneville Bobber juga dilengkapi dengan penyerap hentak yang dipasang di bawah tempat duduk dengan penghubung khas, serta rekaan fork hadapan yang lebih pendek berbanding T120. Seperti varian Bonneville yang lain, Bobber mempunyai mod tunggangan (Road dan Rain), Traction Control, ABS, serta klac bantuan tork.
Pilihan warna yang ditawarkan termasuklah Ironstone (dalam kemasan matte), Morello Red, Stunning Competition Green dengan Frozen Silver, dan Jet Black. Harga bermula dari RM74,900 hingga RM75,900 (termasuk GST, tanpa kos atas jalan).
Street Scrambler
Street Scrambler didatangkan dengan casis yang direka khas bagi membolehkan tempat letak kaki berada pada kedudukan lebih tinggi dan penyerap hentak belakang yang lebih panjang. Ia juga mendapat suspensi yang direka secara spesifik bagi meningkatkan ketinggian.
Motosikal tersebut mempunyai roda 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, berserta tayar dual-sport Metzeler Tourance. ABS dan Traction Control yang didatangkan standard boleh dimatikan bagi kegunaan off-road. Juga standard adalah pad lutut, ‘skid plate’, tempat duduk solo, rak belakang aluminium dan tempat letak kaki penumpang yang boleh ditanggalkan.
Street Scrambler boleh didapati dalam warna Jet Black, Matte Khaki Green dengan Korosi Red, dan Frozen Silver. Harga bermula dari RM65,900 hingga RM67,900, bergantung kepada warna yang dipilih.
Bonneville T100/T100 Black
Sama seperti T120, penggayaan T100 dan T100 Black diinspirasikan oleh Bonneville tahun 1959 yang jelas terlihat pada tangki minyak klasik, plat enjin terperinci, roda jejari lidi dan meter analog berkembar.
Ia juga menampilkan pelindung aluminium, lencana unik dan pelbagai komponen dalam kemasan krom. Bagi melengkapkan profil, ia juga menampilkan tempat duduk dengan getah berbusa untuk lebih keselesaan. Motosikal itu dikuasakan oleh enjin 900 cc silinder berkembar dengan sistem penyejukan cecair.
T100 ditawarkan dalam tiga skim warna; Aegan Blue dengan Fusion White, Intense Orange dengan New England White, dan Jet Black. T100 Black pula boleh didapati dalam warna Jet Black atau Matte Black yang dipadankan dengan komponen-komponen berwarna hitam.
Harga bagi T100 dan T100 Black bermula dari RM63,900 hingga RM65,900.
Street Triple RS
Street Triple RS merupakan model ‘flagship’ bagi barisan Street Triple generasi ketiga, yang juga merangkumi varian S dan R yang bakal tiba di pasaran tempatan tidak lama lagi.
Ia menampilkan enjin 765 cc, tiga silinder yang menghasilkan 121 bhp pada 11,700 rpm, 16% lebih tinggi berbanding model terdahulu. Selain daripada ‘quickshifter’ dengan klac ‘slipper’, jentera ini juga dilengkapi dengan sistem ‘Ride-by-Wire’ (RbW) yang telah dipertingkatkan dengan lebih dari 80 komponen baharu.
Model ini mempunyai lima mod tunggangan – Road, Rain, Sport, Track dan Rider – yang menawarkan pemetaan pendikit yang berbeza serta pelbagai tahap kawalan Traction Control dan ABS.
Bagi casis pula, ia mengekalkan bingkai utama daripada model sebelum ini, namun mendapat lengan ayun yang lebih keras, penyerap hentak belakang Ohlins dan fork Showa. Juga terdapat sistem brem Brembo Monobloc M50 yang disambung pada tuil brek boleh laras.
Kini dipamerkan di bilik pameran Triumph Motorcycles di Petaling Jaya, Street Triple RS boleh menjadi milik anda dari RM66,900. Ia ditawarkan dalam dua warna sahaja iaitu Matt Silver Ice dan Phantom Black.
No Comment