ETCM Lanjutkan Kempen Panggilan Semula Model Nissan Frontier, Sentra dan X-Trail
Berikutan pengumuman yang dibuat oleh Nissan Motor Co. Ltd baru-baru ini, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) telah melanjutkan kempen panggilan Semula untuk dua lagi model keluarannya iaitu Nissan Frontier (D22) dan Sentra (N16); selain tambahan kepada model X-Trail (T30) generasi pertama.
Langkah ini diambil selari dengan pengumuman yang dibuat oleh ETCM mengenai kempen panggilan semula untuk inflator beg udara penumpang hadapan pada Jun 2015 dan Ogos 2016. Dianggarkan sebanyak 52,707 unit kenderaan Nissan di Malaysia terlibat dengan kempen tersebut.
Model | KodProduk | TahunDikilangkan | Unit yang terjejas |
Frontier (CKD) | D22 | Julai 2004 – Disember 2012 | 1,032 |
Sentra (CKD) | N16 | Jun 2000 – Disember 2012 | 48,517 |
X-Trail (CKD) | T30 | Januari 2009 – Disember 2012 | 3,158 |
52,707 |
Proses panggilan semula Takata itu bagaimanapun tidak melibatkan Nissan X-Trail (T32) baharu yang dilancarkan pada Januari 2015 dan model-model Nissan yang dijual sekarang.
Semua pelanggan yang terlibat akan diberitahu menerusi surat daripada TCEAS. Mereka yang menerima surat itu dinasihatkan supaya menghubungi cawangan TCEAS terdekat untuk mendapatkan temu janji. Cawangan yang terpilih juga telah melanjutkan tempoh operasi mereka dan kini ia dibuka 365 hari bagi memudahkan pelanggan untuk menyelenggara kenderaan pada hujung minggu serta meningkatkan kapasiti aktiviti penggantian.
ETCM juga menyediakan perkhidmatan mengganti inflator beg udara Takata semasa Karnival Pandu Uji yang diadakan pada 19 dan 20 Mei 2017 di AEON Mall Kota Bharu, Kelantan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Kos buruh dan alat ganti untuk kempen servis ini adalah percuma.
Pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian Tol Percuma: 1800-88- 3838 untuk maklumat lanjut atau layari laman web www.nissan.com.my (klik pada ruang ‘Owners’ diikuti dengan ‘Recall Campaign’) bagi mengetahui sama ada kenderaan mereka terlibat dalam kempen panggilan semula ini atau sebaliknya.
ETCM menegaskan bahawa ketenangan minda dan keyakinan pelanggan menjadi keutamaan syarikat, selain meminta maaf atas segala kesulitan yang timbul. ETCM dan Nissan komited untuk memastikan keselamatan pelanggan, servis dan kepuasan pelanggan berada di tahap tertinggi.
No Comment