Honda dan Mercedes-Benz Menang Besar di Anugerah Kenderaan Tahunan 2017 DSF.my-Allianz Malaysia
Malam Anugerah Kenderaan Tahunan 2017 (Vehicle of the Year 2017) anjuran bersama Allianz Malaysia Berhad dan rakan media kami, www.dsf.my, yang berlangsung pada 12 Mei 2017 menyaksikan pengiktirafan diberikan kepada pelbagai kenderaan dari pelbagai kategori serta pihak yang terlibat di belakang tabir.
Honda Malaysia dan Mercedes-Benz Malaysia merupakan pemenang terbesar malam itu apabila masing-masing berjaya membawa pulang empat anugerah. Dua kenderaan Mercedes-Benz iaitu A45 AMG dan AMG GT memenangi anugerah kenderaan tahunan dalam kategori masing-masing, manakala dua anugerah lagi disampaikan kepada kakitangan syarikat tersebut.
Honda Malaysia pula menggondol anugerah utama Kenderaan Tahunan 2017 bagi Civic 1.8 S yang menakjubkan dan mampu milik. Selain itu, jabatan Perancangan Produk, Perhubungan Awam serta Naib Presiden syarikat itu turut menerima anugerah bagi prestasi cemerlang yang ditunjukkan dalam bidang masing-masing.
Satu lagi pengeluar kenderaan yang mendapat ‘durian runtuh’ pada malam tersebut adalah Volvo Malaysia. Model S90 yang baru sahaja dilancarkan menerima anugerah bagi kategori Dalaman Terbaik dan Sedan Mewah Tahunan 2017 manakala XC90 pula membawa pulang anugerah SUV Mewah Tahunan 2017.
Pengeluar kenderaan tempatan juga tidak kurang hebatnya. Proton Saga menerima anugerah Sedan Kompak Tahunan 2017, manakala Perodua Axia facelift dengan enjin VVT-i baharunya pula diiktiraf Kereta Kompak Tahunan 2017. Sementara itu, kategori Crossover dan SUV Tahunan 2017 pula didominasi oleh calon dari Eropah iaitu Volkswagen Tiguan dan Renault Koleos.
Dengan perkhidmatan yang memuaskan walaupun terpaksa berdepan dengan jumlah kenderaan yang mendadak naik, Toyota muncul pemenang bagi kategori Selepas Jualan Terbaik. Jenama itu juga membawa pulang anugerah MPV Kompak Tahunan 2017 bagi model Sienta.
Kategori MPV Mewah Tahunan 2017 pula menyaksikan kemenangan mengejut oleh Weststar Maxus G10 yang berjaya mengalahkan pesaing-pesaing seperti Toyota Alphard dan Hyundai Starex dengan harga yang berpatutan serta nilai yang ditawarkan. Kategori Hibrid yang sengit pula jatuh kepada Hyundai Ioniq, manakala Trak Pikap Tahunan 2017 menjadi milik Mitsubishi Triton VGT.
Bagi Kereta Sport Tahunan, Porsche 718 Cayman muncul pemenang dengan enjin yang kecil namun pemanduan yang begitu mengasyikkan. Kategori Sedan Eksekutif pula diberi kepada BMW 5 Series baharu yang didatangkan dengan pelbagai kelengkapan standard. Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah Kenderaan Tahunan DSF.my dan Allianz, layari http://www.dsf.my/category/voty-2017/.
- Kenderaan Tahunan 2017 – Honda Civic 1.8S
- Crossover Tahunan 2017 – Volkswagen Tiguan
- SUV Tahunan 2017 – Renault Koleos
- Sedan Mewah Tahunan 2017 – Volvo S90
- SUV Mewah Tahunan 2017 – Volvo XC90
- MPV Mewah Tahunan 2017 – Weststar Maxus G10
- Kompak Mewah Tahunan 2017 – Mercedes-AMG A45
- Hibrid Tahunan 2017 – Hyundai Ioniq
- Kenderaan Kompak Tahunan 2017 – Perodua Axia
- Sedan Kompak Tahunan 2017 – Proton Saga
- MPV Kompak Tahunan 2017 – Toyota Sienta
- Trak Pikap Tahunan 2017 – Mitsubishi Triton VGT
- Sedan Eksekutif Tahunan 2017 – BMW 5 Series
- Supercar Tahunan 2017 – Mercedes-AMG GT
- Kereta Sport Tahunan 2017 – Porsche 718 Cayman
- Perhubungan Awam Terbaik – Honda Malaysia
- Penganjur Acara Memandu Terbaik – Mercedes-Benz Malaysia
- Perancangan Produk Terbaik – Honda Malaysia
- Selepas Jualan Terbaik – Toyota Malaysia
- Rekaan Terbaik – Mazda CX-3
- Dalaman Terbaik – Volvo S90
- Enjin Diesel Tahunan 2017 – Mazda SkyActiv Diesel 2.2
- Enjin Petrol Tahunan 2017 – Ford EcoBoost 1.5
- Wanita Automotif Tahunan 2017 – Elaine Hew, Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran, Mercedes-Benz Malaysia
- Lelaki Automotif Tahunan 2017 – Akkbar Danial, Naib Presiden, Honda Malaysia
No Comment