Shell Helix, Waze Lancar Amaran Kawasan Kerap Kemalangan Pertama di Asia
Shell Lubricants Malaysia, menerusi jenama minyak motor Shell Helix, mengadakan kerjasama dengan Waze, aplikasi lalu lintas dan nagivasi yang paling popular di negara ini untuk melancarkan amaran kawasan kerap kemalangan yang pertama di Asia. Kerjasama ini bertujuan untuk menjadikan jalanraya lebih selamat bagi para pemandu sepanjang musim Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang ini.
Dari 16 Mei hingga 15 Julai 2017, peringatan khas daripada Shell Helix akan muncul di Waze untuk mengingatkan pemandu supaya lebih berhati-hati apabila kereta mereka menghampiri mana-mana di antara 50 kawasan kerap kemalangan di Semenanjung Malaysia. Lokasi-lokasi tersebut dikenal pasti berdasarkan data sejarah kemalangan yang dihantar oleh pengguna Waze.
Peringatan untuk memandu dengan berhati-hati apabila menghampiri kawasan kerap kemalangan ini bertujuan untuk membantu para pemandu, terutamanya ketika tempoh sesak iaitu pada permulaan Ramadan; ketika dan selepas Aidilfitri. Pesanan hanya akan dipaparkan semasa kereta berhenti sepenuhnya untuk mengelakkan daripada mengganggu tumpuan pemandu.
Menurut Pengurus Pemasaran Shell Lubricants Malaysia dan Singapura, Alex Lim, syarikat ini membawa amalan keselamatan jalanrayanya ke tahap yang lebih tinggi menerusi kerjasama pintar dengan Waze untuk mengurangkan kebimbangan di kalangan para pemandu semasa menggunakan jalanraya.
“Kerjasama dengan Waze ini melambangkan hasrat kami untuk membawa komitmen kami terhadap keselamatan jalanraya ke peringkat yang seterusnya dengan berhubung dengan para pemandu dalam masa nyata,” katanya.
Pengurus Perniagaan Waze Malaysia Edward Ling menyatakan bahawa amaran kawasan kerap kemalangan tersebut adalah kombinasi unik dua ciri dalam Waze – analisis data besar, yang dijana dari komuniti pengguna jalanraya, dan ciri penempatan iklan.
“Dengan menggunakan data dari “crowdsourcing” yang disumbangkan oleh pengguna Waze (Wazers), kami telah mengenal pasti lokasi-lokasi kemalangan utama yang mencerminkan situasi sebenar jalanraya di Malaysia. Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan Shell Helix untuk melancarkan inisiatif ini yang mengingatkan para pemandu untuk memandu dengan lebih selamat. Dengan mengurangkan kemalangan, kami juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan ini membawa kebaikan kepada semua,” katanya.
Sebelum bermulanya tempoh sesak, Shell Helix juga akan mengadakan promosi istimewa penukaran minyak untuk para pengguna Waze serta orang ramai yang menyaksikan video Aidilfitrinya di YouTube atau Facebook yang bertujuan mengingatkan pemilik kereta untuk menjalankan servis kereta sebelum memulakan perjalanan balik kampung yang lebih lancar.
Dengan menunjukkan kod promo unik yang akan dipaparkan di app Waze dan juga di video tersebut, pemilik kereta akan dapat menikmati potongan sehingga RM30 bila mereka membawa kereta mereka untuk servis penukaran minyak di bengkel-bengkel berjenama Shell Helix dan cawangan servis Lubebay di stesen minyak Shell yang mengambil bahagian.
No Comment