Cabaran Eco Perodua 2017 Masuk Fasa Kedua
Cabaran Eco Perodua 2017 (PEC 2017) yang merupakan salah satu program tanggungjawab korporat Perodua kini telah memasuki fasa kedua di mana peserta daripada 10 institusi pengajian tinggi terpilih akan mula membangunkan alat ganti dan aksesori untuk bersaing di pusingan akhir PEC 2017 pada bulan November tahun ini.
Institusi-institusi pengajian tinggi yang terpilih adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), University Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Politeknik Ungku Omar (PUO), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Dilancarkan pada tahun 2009, Cabaran Eco Perodua menyediakan saluran untuk para pelajar dan ahli fakulti dari institusi pengajian tinggi tempatan menunjukkan kreativiti masing-masing dalam bidang rekaan, kejuruteraan dan perniagaan.
Jika cabaran tahun-tahun terdahulu memerlukan peserta mereka semula model Perodua sedia ada dan memasarkan produk tersebut, cabaran tahun ini memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), di mana peserta akan bekerjasama dengan pasukan R&D Perodua serta vendor bagi menghasilkan komponen dan aksesori prototaip.
Sebaik sahaja pembinaan prototaip siap, komponen akan dikaji oleh barisan juri pada bulan November. Setiap pasukan akan dinilai berdaasarkan kemajuan dan penglibatan pasukan, manakala markah akan diberikan secara berperingkat. Pemenang akan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM85,000.
“Kami berharap konsep baru dalam Cabaran Eco Perodua ini akan membawa nilai positif kepada institusi pengajian tinggi dalam menghasilkan pelajar yang berkualiti tinggi yang boleh menyumbang kepada industri automotif. Kami tidak sabar untuk melihat rekaan peserta pada pusingan akhir yang akan berlangsung pada hujung tahun ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.
No Comment