Honda MSX 125 Dapat Empat Warna Segar, Aksesori H2C
Boon Siew Honda telah mengumumkan bahawa model MSX 125 kini boleh didapati dalam empat warna baru iaitu Candy Caribbean Blue Sea, Candy Ultimate Pink, Pearl Valentine Red dan Lemon Ice Yellow. Dilancarkan pada Disember 2016, ‘fun bike’ pada mulanya hadir dengan dua pilihan warna iaitu Hyper Yellow dan Burning Red.
Bukan itu sahaja, Boon Siew Honda juga akan membawa masuk barisan aksesori H2C dengan pilihan unik dan eksklusif yang membuatkannya begitu popular di Thailand. Syarikat itu akan mempamerkan MSX 125 yang dilengkapi dengan aksesori H2C pada Julai tahun ini.
MSX 125 dijana oleh enjin sejukan udara empat lejang bersesaran 125 cc dengan satu silinder yang menghasilkan 9.6 hp pada 7,000 rpm dan tork sebanyak 11 Nm pada 5,250 rpm. Dengan tangki minyak 5.7 liter dan teknologi Programmed – Fuel Injection (PGM-FI) Honda yang terbukti, motosikal itu juga menjanjikan penjimatan bahan api.
Casis MSX 125 diperbuat dari kerangka keluli mono-backbone yang kukuh namun cukup fleksible bagi mendapatkan tindak balas yang baik ketika sedang mengambil selekoh. Ukuran kompak iaitu 1,755 mm panjang, 730 mm lebar dan 1,000 mm tinggi memudahkan MSX 125 ditunggang melalui kesesakan jalan raya.
Dari aspek luaran, gaya kontemporari MSX 125 diserlahkan lagi menerusi rekaan fairing yang kemas, panel meter digital dan juga lampu LED di depan dan belakang.
Harga bagi model ini kekal pada RM11,128.94 (termasuk GST) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.
No Comment