Volvo V40 Facelift Tiba di Malaysia Dengan Lampu Tukul Thor
Volvo V40 versi facelift telah pun dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Hatchback ini ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu T5 Drive-E dengan kelengkapan Inscription.
Ciri yang paling menonjol bagi model facelift ini adalah lampu hadapan tukul Thor, serta jeriji Inscription yang memuatkan lambang Iron Mark Volvo rekaan terbaru.
Di bahagian dalam, kemasan Milled Aluminium menggantikan Shimmer Graphite, manakala ‘tread plate’ Inscription turut disertakan. Lambang Iron Mark baru itu juga digunakan pada roda stereng, paparan Sensus dan kunci.
Dari segi kelengkapan, V40 kini didatangkan dengan sistem kualiti udara dalaman yang dikenali sebagai CleanZone. Teknologi itu memastikan udara dari luar ditapis sebelum memasuki kabin, sekaligus menyingkirkan bahan cemar berbahaya.
V40 T5 mengekalkan ‘powertrain’ Drive-E yang merangkumi enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 245 hp dan 350 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, hatchback tersebut mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.3 saat.
Ia juga mengekalkan sistem keselamatan aktif City Safety dengan ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Collision Avoidance and Mitigation.
V40 T5 Inscription dijual pada harga RM180,888 (harga atas jalan termasuk GST, tanpa insurans). Pelanggan boleh mendapatkan empat warna: Ice White, Onxy Black, Osmium Grey dan warna baru iaitu Luminous Sand.
No Comment