Ducati Scrambler Cafe Racer dan Desert Sled Dilancarkan di AOS 2017
Next Bike Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia, telah melancarkan dua varian Scrambler baharu iaitu Cafe Racer dan Desert Sled. Kedua-duanya diperkenalkan di pertunjukan Art of Speed yang berlangsung pada 29 dan 30 Julai 2017 di MAEPS, Serdang.
“Jenama Ducati Scrambler telah menjadi platform yang sesuai untuk menceburi scene custom di sini. Pengenalan dua varian baharu ini akan meningkatkan lagi scene tersebut,” kata Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Naza World.
Seperti varian Icon, Classic dan Full Throttle yang dilancarkan dua tahun lalu, Scrambler Cafe Racer dan Desert Sled menampilkan enjin Desmodromic 803 cc, L-berkembar yang menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm pada 5,750 rpm.
Dari segi penggayaan, Cafe Racer diinspirasikan oleh motosikal-motosikal era 60an menerusi warna badan Black Coffee, tangki minyak teardrop dengan panel yang boleh ditukar dan tempat duduk yang direka khas dengan penutup bagi pembonceng.
Semangat perlumbaan turut diterapkan dengan penggunaan komponen-komponen seperti cermin sisi di hujung bar hendal, ekzos Termignoni dengan penyenyap berkembar, fairing lampu hadapan, pemegang nombor plat sisi dan tayar Pirelli Diablo Rosso II dengan roda aluminium 17 inci.
Ia dijual dengan harga bermula dari RM68,899 termasuk GST.
Beralih pula ke varian Desert Sled, yang mana namanya merujuk kepada motosikal standard berkapasiti melebihi 500 cc yang diubah suai untuk berlumba di gurun-gurun sekitar California pada zaman 60an dan 70an.
Seperti motosikal-motosikal tersebut, varian Desert Sled didatangkan dengan komponen off-road seperti suspensi boleh laras, kerangka yang diperkuatkan, pelindung lampu hadapan dan enjin, serta rim 19 inci (hadapan) dan 17 inci (belakang) yang dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR.
Varian ini boleh didapati pada harga RM68,899 termasuk GST.
No Comment