Honda CR-V Baharu Masuk Pasaran Malaysia
Selepas dibuka untuk tempahan pada 1 Jun lalu, Honda CR-V generasi kelima kini dilancarkan secara rasmi. SUV itu ditawarkan dalam empat varian iaitu 2.0 2WD (RM142,800), 1.5 2WD (RN156,100), 1.5 4WD (RM162,000) serta 1.5 Premium 2WD (RM168,100) sebagai varian tertinggi.
Seperti yang digembar-gemburkan, CR-V baharu menjadi model pertama Honda Malaysia yang dilengkapi dengan teknologi keselamatan Honda Sensing. Ditawarkan pada varian 1.5 Premium, teknologi ini menggunakan kamera monokular di bahagian atas cermin hadapan dan radar gelombang milimeter di dalam gril hadapan bagi mendapatkan gambaran jalan raya yang lebih jelas dan lengkap.
Ia mempunyai tujuh ciri-ciri iaitu:
- Adaptive Cruise Control (ACC)
Membolehkan pemandu menetapkan kelajuan kenderaan dan mengekalkan jarak antara kereta di hadapan.
- Low-Speed Follow (LSF)
Diintegrasikan dengan ACC, LSF berupaya menyesuaikan kelajuan mengikut mengikut kelajuan kenderaan di hadapan bagi mengekalkan jarak selamat yang ditetapkan terlebih dahulu. Ia juga boleh membrek sehingga kelajuan 0 km/j dalam trafik.
- Forward Collision Warning (FCW) – Diintegrasikan dengan CMBS
Ia menggunakan kamera monokular dan radar gelombang milimeter untuk mengesan kehadiran kenderaan di hadapan. Apabila ia mengesan risiko pelanggaran dengan kenderaan di hadapan, sistem ini akan mengeluarkan amaran visual dan audio bagi pemandu.
- Collision Mitigation Braking System (CMBS)
Ciri ini diaktifkan menggunakan radar dan kamera bagi mengesan keadaan trafik di hadapan kenderaan. Apabila ia mengesan kemungkinan pelanggaran, sistem ini akan mengaktifkan brek secara sendiri bagi memperlahankan kenderaan sekaligus mengurangkan impak pelanggaran.
- Lane Keeping Assist System (LKAS)
Bersama dengan LDW, LKAS menggunakan kamera untuk membaca garisan di atas jalan raya dan akan mengawal stereng bagi mengawal kenderaan supaya kekal di dalam lorong.
- Road Departure Mitigation (RDM)
RDM beroperasi apabila kenderaan tersasar dari jalan raya pada kelajuan 72 sehingga 180 km/j atau lebih. Stereng akan bergegar untuk memberi amaran kepada pemandu.
- Lane Departure Warning (LDW)
Sistem ini berfungsi akan mengeluarkan amaran dan getaran pada stereng apabila pemandu cuba menukar lorong tanpa memberi lampu isyarat.
Dari segi saiz, CR-V baru lebih besar berbanding sebelum ini dengan ukuran panjang 4,584 mm, lebar 1,855 mm dan tinggi 1,679 mm (2WD) atau 1,689 mm (4WD), dan jarak roda 2,660 mm. Ia mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 198 mm (2WD) atau 208 mm (4WD). Ruang kargo juga diberi penambahbaikan dan kini mencapai sehingga 1,084 liter dengan tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya.
Di dalam kabin, CR-V mengetengahkan reka bentuk dinamik dan moden, serta teknologi ketersambungan menerusi sistem Apple CarPlay dan Android Auto dengan paparan 7 inci. Pendingin hawa dua zon memastikan penumpang hadapan dan belakang sentiasa selesa manakala bilangan port USB yang ditambah memudahkan penumpang mengecas gajet mereka.
SUV ini juga didatangkan dengan tempat duduk separa kulit dengan 8 talaan kuasa untuk pemandu dan 4 talaan buat penumpang, brek parkir elektronik dengan Auto Brake Holda, konsol tengah pelbagai fungsi, serta paparan meter digital.
Varian turbo dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC yang menghasilkan 193 PS pada 5,600 rpm dan 243 Nm pada 2,000 hingga 5,000 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan CVT yang dibangunkan di bawah payung Honda Earth Dreams Technology.
Bagi versi 2.0 pula, ia tampil dengan enjin 2.0-liter empat silinder SOHC i-VTEC dengan 154 PS pada 6,500 rpm dan 189 Nm tork pada 4,300 rpm. Ia juga digabungan dengan CVT.
Selain Honda Sensing, aspek keselamatan CR-V dipertingkatkan dengan ciri-ciri seperti enam beg udara, kamera undur, Vehicle Stability Assist (VSA) dengan Agile Handling Assist (AHA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), Electronic Brake Distribution (EBD), ABS, kamera LaneWatch, Auto High Beam, dan Active Cornering Light.
CR-V ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Dark Olive Metallic, White Orchid Pearl, Obsidian Blue Pearl, Lunar Silver Metallic dan Modern Steel Metallic. Pelanggan turut boleh memilih untuk mendapatkan pakej-pakej aksesori iaitu Utility Package (RM1,165), Urban Package (RM1,790) dan Aero Package (RM5,900 untuk 2.0 2WD, RM5,700 untuk 1.5).
No Comment