MINI John Cooper Works Clubman dan Countryman Kini di Malaysia
MINI Malaysia hari ini memperkenalkan MINI John Cooper Works Clubman dan John Cooper Works Countryman baharu yang merupakan model MINI paling berkuasa serta eksklusif pernah dibina oleh jenama Britain itu. Model tersebut dilancarkan pada acara MINI Track Days 2017 yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
Secara ringkasnya, JCW Clubman merupakan gabungan prestasi dan reka bentuk sofistikated. Saiz yang besar dan pintu yang terpisah pada bahagian belakang membuatkannya fleksibel untuk apa jua keadaan. Manakala JCW Countryman pula dibina untuk mereka yang gemarkan cabaran.
Gayaan pada bahagian luaran model-model JCW ini meliputi kit badan aerodinamik JCW, rim JCW Course Spoke bersaiz 19 inci berwarna hitam (Burnish Black), gril JCW, bumbung, perumah cermin sisi dan pelekat badan berwarna merah (Chili Red), spoiler belakang, paip ekzos besi tahan karat, ‘side scuttles’ serta sil pintu JCW.
Beralih ke ruang dalamannya, varian JCW meneruskan semangat sukan bermotor menerusi tempat duduk sport JCW bersama upholsteri kulit Dinamica berwarna hitam (Carbon Black) dan jalur merah, serta stereng kulit JCW dengan ‘paddle shifters’. Reka bentuk yang diinspirasikan oleh sukan bermotor juga boleh dilihat pada kluster instrumen dan kemasan paparan tengah John Cooper Works.
Dari segi kelengkapan, kedua-dua model tampil dengan paparan ‘head-up’, skrin sentuh 8.8 inci, sistem audio Harman Kardon, Parking Assist, kamera belakang, serta MINI Find Mate, satu ciri baharu yang boleh membantu memantau apa sahaja yang dimahukan oleh pemandu. Ciri pancaran logo ke tanah dari cermin sisi bahagian pemandu setiap kali kereta dikunci atau dibuka juga disertakan.
Kedua-dua varian ini menggunakan enjin turbo 2.0 liter empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 231 hp dan tork 350 Nm. Dipadankan dengan tranmisi automatik Steptronic lapan kelajuan, JCW Clubman mencapai kelajuan 100 km/j dalam 6.3 saat manakala Countryman melakukannya dalam 6.5 saat. Clubman mempunyai tahap penggunaan minyak sekitar 7.2 liter bagi setiap 100 kilometer manakala Countryman pula 7.4 liter bagi setiap 100 kilometer.
Karekteristik peredam yang dikawal secara elektrik pada JCW Countryman dipacu untuk corak pemanduan dinamik dalam mod Sport dan menyokong gaya pemanduan lebih selesa dalam mod Mid dan Green. Sementara itu, suspensi sports yang khusus untuk JCW Clubman pula menampilkan talaan sistem suspensi dan peredam yang lebih keras.
Untuk brek, varian-varian ini dilengkapi dengan angkup brek cakera dengan empat omboh yang direka dengan kerjasama Brembo. Angkup brek tersebut diserlahkan lagi dengan warna merah dan logo John Cooper Works.
Sistem Dynamic Stability Control memastikan cengkaman yang optimum ketika memecut, lincah di selekoh dan selamat apabila kenderaan diperlahankan. Fungsi-fungsinya termasuklah Dynamic Traction Control (DTC), Electronic Differential Lock Control (EDLC) – yang bertindak sebagai satu fungsi kunci elektronik pada pembeza gandar hadapan. Ciri Performance Control pula menjanjikan pengendalian lincah apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Kedua-dua JCW Clubman dan Countryman juga didatangkan dengan sistem pacuan semua roda ALL4 sebagai standard. Agihan kuasa tork di antara roda hadapan dan belakang yang dikawal secara elektronik menawarkan pecutan mantap, kelincahan ketika mengambil selekoh dan tahap cengkaman terbaik dan kestabilan dalam apa jua cuaca serta permukaan jalan raya.
Model-model baharu MINI John Cooper Works didatangkan dalam warna hijau (Rebel Green) dan hitam (Midnight Black). Warna perak putih (White Silver) ditawarkan secara eksklusif untuk JCW Clubman manakala warna putih (Light White) pula khas untuk JCW Countryman.
Anggaran harga runcit (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tanpa insurans) ialah RM328,888 untuk JCW Cluubman dan RM348,888 untuk JCW Countryman. Kedua-duanya hadir dengan jaminan tanpa had perbatuan selama 4 tahun dan servis berjadual percuma.
No Comment