Toyota Vios Sports Edition Dibuka Untuk Tempahan – RM85,300
Siri perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Vios Challenge akan membuka tirainya pada bulan hadapan dan bagi menyambut acara yang dinantikan itu, UMW Toyota Motor telah memperkenalkan Vios Sports Edition baharu.
Diinspirasikan oleh jentera lumba Vios Challenge yang akan digunakan sepanjang kejohanan tersebut, Vios Sports Edition didatangkan dengan pelbagai aksesori seperti kit badan dengan spoiler, rim aloi berwarna hitam serta grafik seperti yang digunakan pada jentera lumba tersebut.
Tema itu diteruskan di dalam kabin dengan lambang ‘Sports Edition’ pada tempat duduk fabrik dan karpet, tombol gear yang sporty, sil pintu, ‘scuff plates’ serta nyalaan kuning jingga di bahagian ruang kaki.
Vios Sports Edition turut dilengkapi dengan suspensi sports yang merendahkan kedudukan kenderaan sebanyak 27 mm. Ini dapat mengurangkan ‘body roll’ sekaligus meningkatkan kestabilan semasa mengambil selekoh.
Berharga RM85,300 (tanpa insurans), Vios Sports Edition didatangkan dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. Pelanggan yang membeli model ini turut akan mendapat barangan percuma seperti baju polo TGR, topi dan tumbler.
No Comment