Volvo Catat Pertumbuhan Jualan Global Sebanyak 8.2% Bagi Separuh Pertama 2017
Volvo berada pada landasan yang betul untuk mencapai satu lagi tahun rekod dalam jualan selepas mencatat peningkatan sebanyak 8.2% untuk enam bulan pertama tahun ini. Jumlah jualan pada separuh pertama 2017 mencecah 277,641 unit berbanding 256,563 unit tahun sebelumnya.
Jualan global pada bulan Jun adalah sebanyak 54,351 unit kenderaan, meningkat 5.7% berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Permintaan yang memberangsangkan terhadap model siri 90 (XC90, S90 dan V90) terus menjadi faktor utama dalam pencapaian jualan Volvo. Sementara itu, XC60 generasi pertama yang bakal digantikan tidak lama lagi kekal sebagai model paling laris secara keseluruhan.
Rantau Asia Pasifik melaporkan pertumbuhan jualan sebanyak 27.3% pada bulan Jun kepada 13,769 unit. Jualan di China yang merupakan pasaran terbesar jenama itu pula meningkat sebanyak 30.9% kepada 10,113 unit.
Bagi enam bulan pertama, pertumbuhan di rantau Asia Pasifik berjumlah 22.6%, manakala China naik 27.6% untuk tempoh tersebut. Ia dicapai menerusi permintaan yang tinggi terhadap model XC60, S60L dan S90 yang dipasang secara tempatan. Jualan separuh pertama di rantau EMEA (Eropah, Timur Tengah dan Afrika) pula naik sebanyak 6.6% kepada 164,128 unit.
Pasaran-pasaran lain yang mencatat pertumbuhan positif termasuklah Sweden, United Kingdom, Perancis dan Jerman, di mana jualan meningkat sebanyak 3.9%.
Rantau Amerika pula mencatat jualan sebanyak 41,277 kenderaan bagi enam bulan pertama 2017, di mana 34,102 daripadanya adalah di Amerika Syarikat. Model paling popular di rantau itu adalah XC90, diikuti oleh XC60.
No Comment