BMW M5 (F90) – Jentera Drift Dengan 600HP!
BMW dan sedan berprestasi tinggi memang tidak dapat dipisahkan. Bermula dengan M5 generasi pertama pada tahun 1984, BMW telah menggunakan resepi FR (enjin di hadapan, pacuan roda belakang) yang mempunyai ramai peminat dan pengikut sehingga ke hari ini. Bagaimana pun, M5 generasi keenam yang baru diperkenalkan ini memecah tradisinya tersendiri dengan sistem pacuan semua roda M xDrive.
Sistem tersebut menggunakan transfer case dan klac multi-plate untuk mengagihkan kuasa dari enjin antara gandar hadapan dan belakang. Model ini turut mempunyai Active M Differential di gandar belakang yang berfungsi dalam pelbagai variasi dan mempunyai kesan mengunci antara 0 dan 100 peratus.
Karakter M xDrive boleh diselaraskan menerusi lima konfigurasi berbeza yang boleh dipilih berdasarkan gabungan mod Dynamic Stability Control (DSC On, MDM, DSC Off) dan mod M xDrive (4WD, 4WD Sport, 2WD). Bergantung kepada konfigurasi yang dipilih, pemandu kini boleh melakukan drift terkawal dengan M5. Ia juga boleh ditukarkan kepada mod pacuan roda belakang (2WD) untuk kegunaan di litar.
Kuasa bagi M5 dibekalkan oleh enjin 4.4-liter V8 bi-turbo yang kini dilengkapi dengan pengecas turbo baharu, sistem penyejukan udara yang lebih cekap serta tekanan suntikan bahan api yang lebih tinggi. Hasilnya adalah 600 hp dari 5,600 hingga 6,700 rpm dan 750 Nm tork yang terhasil seawal 1,800 rpm.
Dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan, M5 hanya memerlukan 3.4 saat untuk memecut dari 0 – 100 km/j, dan 11.1 saat untuk mencapai 200 km/j. Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 250 km/j, namun ia boleh dinaikkan sehingga 305 km/j dengan pakej M Driver yang ditawarkan secara pilihan.
Suspensi M5 direka untuk cengkaman maksimum dan ditala oleh pakar dan pelumba di litar Nurburgring. Sistem Variable Damper Control (VDC) dan stereng M Servotronic boleh diselaraskan menerusi mod Comfort, Sport dan Sport Plus. Karakter enjin juga boleh dikonfigurasikan mengikut citarasa pemandu menerusi mod Efficient, Sport dan Sport Plus. Konfigurasi kemudiannya boleh disimpan pada butang M1 dan M2 pada roda stereng dan hanya perlu ditekan untuk diaktifkan.
Dari segi penampilan, M5 mempunyai bukaan yang lebih besar pada bahagian hadapan untuk menyalurkan lebih banyak udara kepada sistem penyejukan dan brek. Diffuser belakang juga direka semula untuk menempatkan ekzos model tersebut. Bonet diperbuat daripada aluminium manakala bumbung diperbuat daripada gentian karbon, menjadikan M5 ini lebih ringan berbanding model terdahulu.
Di Eropah, M5 boleh dipesan bermula dari September ini dengan harga €117,900 (RM596,749). BMW turut akan menawarkan 400 unit M5 First Edition yang didatangkan dengan warna Frozen Dark Red Metallic dan pelbagai ciri eksklusif dengan harga tambahan sebanyak €19,500 (RM98,699).
No Comment