Boon Siew Honda Lancarkan CRF250L dan CRF250 Rally
Boon Siew Honda telah mengumumkan ketibaan dua model adventure baharu iaitu CRF250L (RM24,378) dan CRF250 Rally (RM28,618). Kedua-dua model ini boleh didapati di semua pusat pengedar sah BSH bermula dari 29 Ogos 2017.
CRF250L and CRF250 Rally menggunakan enjin sejukan cecair bersesaran 249 cc dengan satu silinder yang sama. Unit tersebut kini dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan badan pendikit yang ditambahbaik, serta kotak udara, tiub penyambung dan ekzos baharu.
Enjin tersebut mengeluarkan 24.4 hp pada 8,500 rpm dan 22.6 Nm tork pada 6,750 rpm, yang dihantar ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan. Balance shaft berfungsi mengurangkan getaran sementara kotak gear dan klac direka untuk menampung tekanan tambahan ketika menunggang secara off-road.
Motosikal itu juga berkongsi fork teleskopik 43 mm di hadapan dan monoshock Prolink di belakang, roda 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, brek cakera terapung, dan ABS yang boleh dinyahaktifkan untuk roda belakang.
Kedua-dua model mempunyai jarak roda yang sama iaitu 1,445 mm, namun dengan ukuran panjang 2,210 mm, lebar 900 mm dan tinggi 1,425 mm, CRF250 Rally adalah lebih besar dan tinggi berbanding CRF250L. Model Rally itu juga mempunyai tangki minyak lebih besar berukuran 10.1 liter berbanding CRF250L yang mempunyai tangki 7.8 liter.
Sebagai tambahan, CRF250 Rally dilengkapi dengan penghadang angin, pelindung radiator, serta lampu LED berkembar.
Kedua-dua model ini ditawarkan dalam hanya satu pilihan warna iaitu Extreme Red (merah) dengan corak hitam dan putih.
No Comment