Ferrari Portofino Ganti California T
Ferrari telah mendedahkan model terbarunya yang dikenali sebagai Portofino – model V8 GT yang menggabungkan pemanduan sporty, gaya serta keselesaan. Nama serta warna merah ‘Rosso Portofino’ ini dipilih bersempena dengan sebuah bandar pelabuhan di Itali.
Antara pembaharuan yang terdapat pada model ini adalah casis serba baharu yang dikatakan lebih ringan serta lebih tegar berbanding model yang digantikannya iaitu California T.
Selain itu, enjin 3.9-liter V8 twin-turbo model itu kini menghasilkan 592 hp pada 7,500 rpm dan 760 Nm dari 3,000 hingga 5,250 rpm – 40 hp lebih tinggi berbanding California T. Dengan kotak gear tujuh kelajuan, Portofino memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.5 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum 320 km/j.
Semua aspek enjin lapan silinder itu telah dipertingkatkan dengan penggunaan omboh dan con-rod baharu, serta sistem intake yang direka semula. Geometri sistem ekzos juga diubah untuk mengurangkan kehilangan kuasa (power loss) sekaligus meningkatkan respon pendikit. Penghantaran tork pula diuruskan oleh Variable Boost Management bagi menghasilkan pecutan lebih berkuasa dalam semua gear dan penggunaan bahan api lebih rendah pada masa yang sama.
Portofino menampilkan E-Diff (Electronic Rear Differential) generasi ketiga yang disepadukan dengan F1-Trac bagi meningkatkan cengkaman mekanikal dan kawalan kereta. Ia juga dilengkapi dengan stereng kuasa elektrik (EPS) dengan nisbah 7 peratus lebih rendah untuk pengendalian yang lebih responsif tanpa mengorbankan kestabilan. Sistem peredam magnetorheological (SCM-E) juga ditambahbaik dengan gelung pegas berkembar yang mengurangkan body roll.
Reka bentuk Portofino adalah berdasarkan konfigurasi two-box fastback yang belum pernah digunakan untuk kereta coupe-convertible dengan bumbung hardtop boleh buka. Bahagian kabin pula memfokuskan kepada keselesaan pengguna dengan ciri-ciri seperti skrin sesentuh 10.2 inci, sistem pendingin hawa baharu, roda stereng baharu, serta tempat duduk boleh laras 18 cara. Penghadang angin baharu juga mengurangkan aliran udara di dalam kabin ketika bumbung dibuka sebanyak 30%.
Ferrari Portofino akan membuat kemunculan sulungnya di Frankfurt International Motor Show pada September ini.
No Comment