MyPUSPAKOM Mudahkan Pelanggan Buat Temujanji
PUSPAKOM Sdn. Bhd. memperkenalkan sistem temujanji pemeriksaan atas talian baharu, MyPUSPAKOM bagi memudahkan
pelanggan untuk membuat temujanji pemeriksaan kenderaan di pusat itu.
Di peringkat awal, sistem ini hanya akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM Shah Alam dan Padang Jawa bermula pada 28 Ogos 2017 bagi slot temujanji pemeriksaan bermula 11 September 2017. Perlaksanaan sistem ini dijangka akan diperluaskan secara berperingkat ke semua pusat pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM di seluruh negara.
Melalui sistem ini, pelanggan boleh membuat temujanji dan pembayaran pemeriksaan kenderaan secara atas talian melalui aplikasi MyPUSPAKOM atau laman sesawang www.mypuspakom.com.my. Pada masa ini, applikasi ini hanya boleh dimuat turun dari Google Play. Pelanggan yang membuat temujanji menggunakan sistem ini akan dikenakan bayaran caj pemprosesan RM3.50. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh “walk-in” ke pusat pemeriksaan PUSPAKOM tanpa temujanji.
Untuk membiasakan pengguna dengan sistem baharu ini, pelanggan yang membuat temujanji menggunakan MyPUSPAKOM untuk pusat pemeriksaan Shah Alam dan Padang Jawa akan dikecualikan caj pemprosesan. Tempoh pengecualian adalah bagi slot temujanji bermula pada 11 September 2017 sehingga 8 Oktober 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Dengan MyPUSPAKOM, urusan syarikat mahupun individu untuk membuat temujanji pemeriksaan akan menjadi lebih senang, dan pembayaran untuk slot pemeriksaan kenderaan juga akan dibuat secara atas talian. Mereka hanya perlu hadir di cawangan PUSPAKOM yang terpilih dan berurusan secara “cashless” atau tanpa tunai mengikut slot pemeriksaan kenderaan yang ditempah melalui MyPUSPAKOM.”
Melalui MyPUSPAKOM, pelanggan dapat mengetahui kekosongan slot, tarikh dan masa untuk pemeriksaan kenderaan di semua cawangan dan lokasi pemeriksaan PUSPAKOM di seluruh negara, malahan boleh menyemak rekod temujanji dan pemeriksaan kenderaan. Ini memberi manfaat nilai tambah, menjimatkan masa dan kos terutamanya bagi syarikat serta organisasi dalam mengatur jadual pemeriksaan kenderaan-kenderaan milik mereka dengan lebih telus dan efisyen.
Tambah Shukor lagi, “Dengan menggunakan sistem MyPUSPAKOM, pelanggan dapat mengetahui caj sebenar pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, ini dapat mengelakkan daripada tertipu dan dikenakan caj perkhidmatan yang terlampau tinggi oleh perkhidmatan “runner” ataupun orang tengah.”
No Comment