Toyota Vios Sports Edition – RM85,300
Bersempena dengan perlumbaan sulung Vios Challenge yang diadakan pada 12 dan 13 Ogos ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, UMW Toyota Motor telah menyediakan Vios edisi istimewa yang dikenali sebagai Vios Sports Edition. Ia ditawarkan untuk jangka masa terhad dengan harga RM85,300 (tanpa insurans).
Lebih dari sekadar model edisi istimewa dengan tambahan aksesori kosmetik, Vios Sports Edition didatangkan dengan kit suspensi sports yang menggantikan penyerap hentak dan pegas gegelung standard. Kit tersebut ditala bagi memberikan lebih kestabilan di selekoh tanpa mengorbankan keselesaan.
Berbanding Vios standard, suspensi Sports Edition telah direndahkan sebanyak 27 mm. Ini membawa pusat graviti ke tahap yang lebih rendah sekaligus mengurangkan body roll semasa mengambil selekoh dan meningkatkan keyakinan pemandu.
Bahagian luaran Vios Sports Edition dihiasi dengan pelekat berinspirasikan jentera lumba Vios Challenge yang menutupi 40% bahagian badan kereta. Ia juga tampil lebih agresif dengan aerokit yang merangkumi bampar hadapan, skirt sisi, serta spoiler belakang. Aerokit tersebut meningkatkan daya aerodinamik kereta serta kestabilan pada kelajuan yang tinggi.
Di bahagian belakang, spoiler yang besar mewujudkan downforce yang menyebabkan kenderaan lebih stabil dan mendapat lebih cengkaman. Vios Sports Edition juga didatangkan dengan rim berwarna hitam yang memberikan kontras dengan badan kereta yang berwarna putih.
Tema sporty diteruskan di dalam kabin dengan tempat duduk fabrik eksklusif dan lambang ‘Sports Edition’ pada karpet lantai. Selain daripada tombol gear sport, model ini juga menampilkan scuff plates pada bahagian sisi pintu dengan nyalaan berwarna amber. Nyalaan tersebut juga terdapat pada ruang kaki pemandu dan penumpang hadapan.
Vios Sports Edition dikuasakan oleh enjin 1.5-litre Dual VVT-i yang dipadankan dengan CVT. Ia juga didatangkan dengan pakej keselamatan lengkap yang merangkumi ABS, Traction Control, Vehicle Stability Control, Electronic Brakeforce Distribution dan Brake Assist.
Pelanggan yang membeli Vios Sports Edition akan mendapat barangan percuma seperti baju polo Toyota Gazoo Racing dan topi lengkap dengan nama sendiri. Selain itu, ia juga boleh didapati dengan sistem infotainment DVD-AVN atau DVD-AVX, serta filem solar dan keselamatan yang mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh JPJ serta boleh digunakan oleh pengguna SmartTag.
Semua aksesori dikilangkan dengan standard kualiti yang sama dengan kenderaan Toyota. Ia dipasang sendiri oleh UMWT serta dilindungi oleh jaminan tersendiri.
Seperti model-model Toyota yang lain, Vios Sports Edition dilindungi oleh jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.
No Comment