VIDEO: Nissan Rear Door Alert (RDA) Elakkan Pemandu Jadi Pelupa
Nissan telah memperkenalkan Rear Door Alert (RDA), satu ciri baharu yang direka untuk memberi peringatan kepada pemandu untuk memeriksa tempat duduk belakang sebelum beredar dari kenderaan. Kes kanak-kanak maut akibat ditinggalkan di dalam kereta bukan sesuatu yang asing dan ciri ini diharap dapat mengelakkan insiden seperti tersebut dari berulang lagi.
Bakal diperkenalkan pada model Pathfinder tahun 2018, RDA akan mengesan jika pintu belakang dibuka dan ditutup sebelum perjalanan dan ia akan mengeluarkan amaran jika pintu belakang tidak dibuka semula setelah perjalanan selesai dan enjin dimatikan. Amaran akan diberikan melalui paparan pada panel instrumen atau bunyi hon.
Oleh kerana terdapat banyak senario di mana pemandu mungkin membuka pintu belakang – sama ada meletakkan barang atau membersihkan kereta – sistem RDA mudah dikonfigurasikan dan boleh dimatikan secara sementara atau secara kekal melalui arahan dalam paparan kluster.
“Ideanya ialah jika anda membuka pintu belakang untuk meletakkan kanak-kanak atau barang di tempat duduk belakang, kenderaan akan mengingatkan anda untuk memeriksa tempat duduk belakang apabila anda tiba di destinasi,” kata Marlene Mendoza dari Nissan Technical Center North America (NTCNA).
No Comment