Institusi Pengajian Tinggi berganding bahu dengan industri bagi menyediakan graduan untuk budaya kerja korporat
Pengecilan jurang antara keupayaan graduan dan keperluan industri menjadi fokus kepada Perodua Eco Challenge 2017 dan ia sudahpun mendatangkan kesan positif kepada Institut-institut Pengajian Tinggi yang terlibat.
Perhatian khusus diberikan kepada kebolehan menyelesaikan masalah industri secara sistematik dan kreatif oleh pelajar kejuruteraan kerana jurang kebolehan ini dikatakan semakin meluas.
Perodua Eco Challenge kali ini direka untuk mencabar pelajar-pelajar IPT dalam menghasilkan produk ataupun penyelesaian yang relevan dengan keperluan industri dan kehendak pasaran.
Menurut lima dari sepuluh institusi tersebut, Perodua Eco Challenge (PEC) telah mendatangkan kesan positif ke atas pendekatan pembelajaran mahasiswa yang terlibat.
Maklumbalas dari Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati pelajar yang mengambil bahagian dalam PEC kini memberi keutamaan kepada maklumat dari sumber pasaran dan industri dalam mencari penyelesaian kepada masalah.
Perubahan ini mendorong mereka untuk menggunakan perkakasan dan teknik terkini semasa membangunkan rekabentuk produk seperti yang ditetapkan oleh Perodua.
Jika sebelum ini pelajar kurang cekap menghubungkaitkan ilmu yang dipelajari dengan kaedah dan amalan industri, kini mereka lebih yakin untuk menghasilkan penyelesaian kreatif.
Proses bimbingan yang diperolehi dari pakar di Perodua telah membuka minda pelajar kepada teknik penyelesaian yang lebih sistematik dan praktikal. Mereka juga lebih kritis terhadap pemikiran sendiri disamping menjadi lebih terbuka kepada pendapat dan idea yang dijana oleh ahli kumpulan.
UKM yakin pendedahan kepada PEC mampu membantu mereka masuk ke alam pekerjaan dengan lebih berdaya saing .
Menurut Universiti Malaya pula, program PEC ini telah membuka mata mereka kepada peluang penyelidikan dan pembangunan berterusan untuk industri.
Format PEC juga menggalakkan pensyarah berinteraksi dan berkomunikasi dengan cara lebih berkesan dengan pelajar bagi memastikan hasil kerja mereka menepati keperluan yang ditetapkan.
Universiti Malaysia Pahang pula pelajar mereka lebih bersedia untuk menggembelingkan ilmu dari kuliah dalam menjana penyelesaian yang relevan. Pihak UMP juga kini lebih peka dalam merangka silibus yang lebih sedia pasaran bagi menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi.
Kesemua IPT yang terlibat berpendapat perubahan positif telah meyakinkan mereka untuk terus berusaha supaya dipilih sebagai peserta di masa akan datang.
Perodua Eco Challenge yang telah diperkenalkan pada tahun 2009, merupakan salah satu program tanggungjawab korporat Perodua yang menumpukan dalam memperkasakan golongan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi melalui bimbingan korporat.
No Comment