Subaru WRX STI S208 hanya untuk pasaran Jepun
Acara Tokyo Motor Show 2017 yang akan berlangsung pada bulan Oktober ini bakal menyaksikan pelancaran Subaru WRX STI S208, satu model edisi terhad yang berada pada kedudukan teratas dalam barisan WRX STI.
Dibangunkan bersama oleh Subaru dan STI, sedan berprestasi tinggi ini turut menjadi pengganti kepada WRX STI S207 yang diperkenalkan dua tahun lalu. Antara penambahbaikan yang diberikan adalah kit badan, perincian sporty di dalam kabin serta kuasa yang lebih tinggi.
Subaru tidak memberitahu berapa banyak kuasa kuda yang dihasilkan bagi S208, namun ia pastinya lebih tinggi berbanding S207 yang mempunyai 328 PS dan 431 Nm yang dibekalkan oleh enjin pengecas turbo boxer 2.0-liter empat silinder.
Selain itu, untuk pengendalian yang lebih berkesan, S208 juga didatangkan dengan sistem suspensi yang dipertingkatkan dan bumbung gentian karbon. Ia bukan sahaja menghasilkan pusat graviti yang lebih rendah, malah dapat mengurangkan berat keseluruhan kenderaan.
Bagaimana pun, seperti S207, WRX STI S208 hanya akan dijual di Jepun. Pengeluarannya dihadkan kepada 450 unit sahaja dan mereka yang berminat perlu melalui sistem loteri untuk membeli model ini.
No Comment