Affendi berhijrah, buru keputusan terbaik bersama jentera baharu
Mohd Affendi Rosli yakin penghijrahan ke pasukan baharu mampu membawa keputusan positif menjelang perlumbaan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, pada 14 dan 15 November ini.
Pelumba berusia 32 tahun itu beralih ke pasukan Bio-Ray AHM Racing Team setelah hanya tujuh pusingan bersama pasukan SCK Rapido Hirev Honda Racing bagi mengharungi baki saingan perlumbaan kategori CP150 yang mula dkperkenal pada tahun ini.
“Saya yakin ia keputusan tepat. Selepas beberapa sesi latihan, saya yakin mampu kembali berada di kelompok hadapan. Tambahan pula, litar Jempol jarang mengecewakan saya,” jelas Affendi.
Tambahnya, “Pasukan telah menyediakan yang terbaik kepada saya. Banyak perubahan dari segi jentera berbanding sebelum ini. Saya akan membalas kepercayaan pasukan dan menunjukkan kemampuan sebenar kepada mereka yang mengkritik saya sebelum ini.
Setakat tujuh pusingan lepas, Affendi sekadar berada di kedudukan ke-20 keseluruhan dengan mengumpul enam mata dengan pencapaian terbaik menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 pada pusingan lepas di Kelantan.
Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) mendahului kedudukan keseluruhan dengan 125 mata diikuti Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) dengan 99 mata dan Ahmad Fazli Sham, 64 mata.
No Comment