Alpine A110 Cup – jentera litar dengan 270 hp, 320 Nm
Alpine A110 Cup merupakan jentera lumba yang akan digunakan untuk siri perlumbaan Piala Alpine Europa yang akan diadakan pada tahun hadapan.
Pasukan yang berminat untuk bertanding di dalam siri perlumbaan tersebut boleh mendapatkan jentera dengan harga kira-kira €100,000 (RM492,200) setiap satu. Ia akan dijual berdasarkan konsep ‘siapa cepat dia dapat’ kerana hanya 20 unit akan dikeluarkan bagi musim pertama kejohanan itu.
Berbanding model pengeluaran A110 yang diperkenalkan pada awal tahun ini, A110 Cup didatangkan dengan beberapa peningkatan mekanikal. Ini termasuk enjin pengecas turbo 1.8-liter empat silinder yang kini menghasilkan 270 hp (meningkat dari 252 hp) hasil penggunaan penapis udara dan sistem ekzos yang dipertingkatkan.
Jika A110 menggunakan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan, versi Cup ini dilengkapi dengan kotak gear ‘sequential’ enam kelajuan dan ‘limited-slip differential’ yang bertanggungjawab menyalurkan kuasa dan tork ke roda belakang. ECU jenis SRG 140 keluaran Magneti-Marelli pula ditugaskan untuk mengumpul dan menguruskan data elektronik dari enjin dan casis.
Bercakap tentang casis, A110 Cup dibangunkan dengan casis ‘monocoque’ yang diubahsuai serta sistem penggantungan boleh laras Ohlins yang turut merendahkan badan sebanyak 40 mm. Seperti versi produksinya, jentera litar ini memakai tayar Michelin. Brek pula terdiri dari cakera magnesium dan angkup daripada Brembo.
Seperti kebanyakan jentera lumba, kebanyakan komponen di dalam kabin telah dibuang. Ini bukan sahaja dapat memuatkan ‘roll cage’, malah berat juga berjaya dikurangkan sehingga kira-kira 1,050 kg sahaja. Pemandu akan duduk di atas kerusi ‘bucket’ Sabelt dan memegang roda stereng XAP yang dilengkapi dengan ‘paddle shifter’ serta paparan digital.
A110 Cup jelas dibangunkan untuk semua jenis pemandu, dengan pedal dan stereng boleh laras. Selain itu, jika perlu, pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan tempat duduk penumpang.
No Comment