Honda Neo Sports Cafe sedia untuk pengeluaran
Honda telah memperkenalkan motosikal Neo Sports Cafe Concept di acara Tokyo Motor Show 2017. Walaupun masih berstatus konsep, motosikal moden retro ini sudah bersedia untuk memasuki fasa pengeluaran dengan model sebenar bakal dipertunjukkan pada acara EICMA di Milan pada awal November ini.
Tidak banyak maklumat yang didedahkan mengenai Neo Sports Cafe, namun jika dilihat reka bentuknya ia jelas dipengaruhi oleh CB1000R dan model konsep CB4 yang didedahkan dua tahun lalu.
Motosikal ini tampil dengan lampu bulat LED, paparan digital sepenuhnya, cat merah metalik yang dipadankan dengan kemasan aluminium serta lengan ayun tunggal. Ia dikuasakan oleh enjin 998 cc empat silinder sebaris yang diambil dari CB1000R.
Model produksi yang akan diperkenalkan nanti pastinya mempunyai sedikit perubahan bagi memenuhi piawaian tertentu, namun jika bentuk keseluruhan dapat dikekalkan, sudah tentu Neo Sports Cafe akan laku seperti pisang goreng panas.
No Comment