McLaren F1 dengan perbatuan rendah untuk dijual
McLaren F1 adalah antara supercar paling rare di atas muka bumi ini dengan hanya 106 unit dihasilkan dari 1992 hingga 1998. Daripada jumlah tersebut, hanya 64 unit sah untuk digunakan di jalan raya manakala selebihnya adalah prototaip dan jentera lumba.
Sekiranya anda berfikir bahawa memiliki salah satu daripadanya adalah mustahil, anda salah kerana Tom Hartley Jr, penjual kereta klasik di England, mempunyai satu unit F1 untuk dijual.
Dihasilkan pada tahun 1997, unit bernombor 060 tersebut didatangkan dalam warna asal dari kilang iaitu Dandelion Yellow. Apa yang membuatkan ia lebih istimewa berbanding mana-mana F1 yang lain adalah perbatuan sejauh hanya 238 km pada odometer.
Bukan itu sahaja, bahagian kabin turut dijaga dengan begitu baik dengan bungkusan busa dan plastik digunakan untuk melindungi tempat duduk, papan pemuka dan lantai. Jentera unik ini seolah-olah tidak pernah digunakan sejak keluar dari kilang McLaren di Woking, England.
Ia turut didatangkan dengan beberapa kelengkapan tambahan seperti ekzos F1 LM, stereng suede dari F1 GTR yang boleh ditanggalkan, jam Tag Heuer dengan nombor siri kenderaan, kabinet alat, serta buku pemilik khas. Selain itu, tandatangan pereka model ini iaitu Gordon Murray turut tertera di bahagian belakang sisi kanan.
Harga tidak diumumkan, namun untuk perbandingan, F1 pertama yang diimport masuk ke Amerika Syarikat (dengan perbatuan kira-kira 15,000 km) dijual pada harga melebihi USD15 juta (RM63.3 juta).
No Comment