Toyota Innova 2.0X, varian baharu Fortuner dan Hilux versi dipertingkatkan mula dijual
UMW Toyota Motor (UMWT) secara rasminya telah memulakan penjualan Innova 2.0X, varian-varian baharu Fortuner serta Hilux yang dipertingkatkan.
Harga bagi model-model terbaru ini adalah seperti berikut:
- Innova 2.0X – RM132,800
- Fortuner 2.4 VRZ 4×4 – RM195,800
- Fortuner 2.4 VRZ 4×2 – RM185,800
- Hilux – dari RM87,200 hingga RM130,900
Innova 2.0X merupakan varian tambahan yang merupakan model flagship dalam barisan Innova. Imej MPV tersebut dipertingkatkan lagi dengan ciri-ciri premium seperti lampu LED, pakej kemasan kulit premium, pelarasan lapan cara bagi kerusi pemandu, kerusi kapten pada barisan kedua serta rim aloi lebih besar.
Dua varian turbodiesel baharu dalam barisan Fortuner iaitu 2.4 VRZ 4×4 dan 2.4 VRZ 4×2 memberikan pelanggan lebih banyak pilihan. Seperti varian 2.7 SRZ 4×4, kedua-duanya didatangkan dengan lampu projektor Bi-LED, lampu kabus LED, Cruise Control, Vehicle Stability Control (VSC), tujuh beg udara, pendingin hawa automatik dan tempat duduk kulit.
Bagi ciri-ciri 4×4 pula, varian 2.7 SRZ 4×4 dan 2.4 VRZ 4×4 kini dilengkapi dengan Downhill Assist Control (DAC). Semua varian juga dilengkapi dengan brek cakera belakang.
Berikutan maklum balas dan permintaan pelanggan, trak pikap Hilux kini ditambahbaik dengan ciri-ciri seperti Cruise Control, pendingin hawa automatik, port pengecas USB serta lubang pendingin hawa di belakang untuk perjalanan yang lebih selesa.
Varian 2.4G manual mendapat VSC, HAC dan A-TRC, manakala 2.8G mendapat Downhill Assist Control (DAC) yang membuat menuruni curam lebih mudah dan selamat. Aspek keselamatan juga dipertingkatkan dengan penambahan tujuh beg udara pada varian 2.4G automatik.
Seperti semua model terkini yang ditawarkan oleh UMW Toyota Motor, model-model baharu ini didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan kecuali Hilux yang mempunyai jaminan lima tahun atau 150,000 km.
No Comment