5 sebab mengapa Perodua Myvi adalah kereta keluarga yang baik
Myvi, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dilancarkan pertama kali pada tahun 2005, hatchback ini terus menjadi kenderaan pilihan bagi pelbagai golongan pemandu tidak kira sama ada pelajar, pekerja, bujang mahupun berkeluarga.
Ya, walaupun ia kecil, Myvi juga dijadikan sebagai kenderaan keluarga terutamanya bagi mereka dengan bilangan ahli yang kecil. Model terbaru yang dilancarkan pada minggu lalu dijangka meneruskan trend itu dan di sini kami senaraikan lima sebab mengapa.
1. Saiz lebih besar
Dari segi ukuran, Myvi baru adalah 205 mm lebih panjang dan 70 mm lebih lebar berbanding model sebelum ini. Jarak roda (wheelbase) turut dipanjangkan dari 2,440 mm ke 2,500 mm dan ini juga memberikan jarak ‘tandem’ antara penumpang depan dan belakang yang lebih besar iaitu 937 mm.
2. Ruang but lebih luas
Anda kini boleh menyimpan lebih banyak bagasi di belakang kerana ruang but turut menjadi lebih luas dengan jumlah keseluruhan 277 liter berbanding hanya 208 liter sebelum ini. Lipat kerusi belakang dan anda akan mendapat ruang seluas 832 liter.
3. Enjin jimat dan bertenaga
Myvi ditawarkan dengan enjin 1.3 dan 1.5 liter, dengan kedua-duanya dilengkapi dengan teknologi Dual VVT-i. Varian 1.5 menghasilkan 106 hp dan 136 Nm (setanding dengan Vios) dan penggunaan bahan api sehingga 20.1 km bagi setiap liter, menjadikannya kenderaan berstatus EEV.
4. Lebih selamat
Semua varian didatangkan standard dengan ABS dengan Electronic Brakeforce Distribution (EBD), Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TRC) dan Emergency Stop Signal (ESS). Varian 1.3 mendapat empat beg udara manakala varian 1.5 mendapat enam. Varian 1.5 Advance juga dilengkapi dengan Advanced Safety Assist (ASA) yang merangkumi ciri-ciri Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.
5. Harga berpatutan
Harga bagi Myvi baru bermula dari RM44,300 hingga RM55,300 untuk varian tertinggi, jauh lebih murah berbanding kenderaan segmen B jenama Jepun dengan senarai kelengkapan yang hampir sama. Ini adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan terutamanya bagi mereka yang baru ingin memulakan kehidupan berkeluarga.
No Comment