Aston Martin Vantage baru telah tiba!
Aston Martin telah memperkenalkan Vantage serba baharu. Ini merupakan kali pertama model itu menerima secara menyeluruh sejak model V8 Vantage yang dilancarkan pada tahun 2005.
Pertama sekali, Vantage kini mempunyai ‘jantung’ baru di dalam bentuk 4.0-liter V8 yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG. Unit dwi-turbo itu mengekstrak 510 PS pada 6,000 rpm dan 685 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm. Kuasa dihantar ke roda belakang menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan keluaran ZF.
Ini membolehkan Vantage memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 314 km/j. Prestasinya dibantu dengan kehadiran pelbagai sistem elektronik termasuk Dynamic Stability Control dan Dynamic Torque Vectoring.
Selain itu, Vantage juga dilengkapi dengan Electronic Rear Differential yang tidak terdapat pada mana-mana model Aston Martin setakat ini. Ia dihubungkan dengan sistem kawalan kestabilan elektronik kenderaan supaya ia boleh bertindak balas dengan menghantar kuasa dari enjin ke roda yang sepatutnya.
Vantage menggunakan casis aluminium yang sama dengan DB11, namun 70% daripada komponennya, termasuk ‘subframe’ belakang, adalah baru. Ia juga menampilkan Adaptive Damping System terbaru yang menggabungkan teknologi Skyhook dan menawarkan pilihan mod Sport, Sport Plus dan Track.
Kelengkapan standard bagi model ini termasuklah sistem kemasukan tanpa kunci, butang mula/henti enjin, sistem pemantauan tekanan tayar, bantuan parkir serta sensor depan dan belakang. Sistem infotainment pula terdiri daripada skrin LCD bersaiz lapan inci yang merangkumi sistem audio Aston Martin, Bluetooth, USB, penyambungan iPod dan iPhone, serta sistem navigasi satelit.
Vantage dijual dengan harga bermula dari £120,900 (RM661,174) di United Kingdom.
No Comment