Hennessey Venom F5 buru Bugatti Chiron
Bugatti dan Hennessey mula bersaing beberapa tahun dahulu untuk rekod kelajuan tertinggi dengan Veyron Super Sport dan Venom GT. Kini, ‘perang’ antara kedua-dua pengeluar tersebut dibawa ke tahap lebih tinggi dengan Chiron dan Venom F5.
Didedahkan pada pertunjukan SEMA di Las Vegas baru-baru ini, Venom F5 adalah pengganti kepada Venom GT yang dilancarkan enam tahun lalu. Ia dinamakan sempena dengan angin puting beliung paling kencang mengikut skala Fujita.
Venom F5 mempunyai 1,600 hp dan 1,762 Nm yang dibekalkan oleh enjin dwi-turbo 7.4-liter V8. Dengan kotak gear klac tunggal tujuh kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda belakang, hypercar ini mampu memecut dari 0 hingga 300 km/j dalam kurang dari 10 saat, menjadikannya lebih pantas daripada jentera F1.
Bukan itu sahaja, ia juga memerlukan kurang dari 30 saat untuk memecut dari 0 hingga 400 kembali ke 0 km/j. Kelajuan maksimum pula dikatakan melebihi 482 km/j. Untuk perbandingan, Bugatti Chiron mempunyai 1,500 hp dan 1,600 Nm, dengan kelajuan maksimum yang dihadkan kepada 420 km/j.
Casis dan ciri aerodinamik turut memainkan peranan penting dalam usaha Hennessey untuk mengalahkan Bugatti. Venom F5 dibina berasaskan struktur ringan serba baharu dan badan gentian karbon. Ia mempunyai berat badan 1,338 kg, jauh lebih ringan berbanding Chiron dengan berat 1,996 kg.
Hennessey merancang untuk membina hanya 24 unit Venom F5 dan ia akan dijual pada harga USD1.5 juta (RM6,360,750) setiap satu.
No Comment